Array


 Komentar   

Kerabat PH gembira PAS mahu putus tahaluf dengan PKR?

pada 28-03-2017 08:03 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Dua bekas rakan kongsi PAS – DAP dan PKR – pesimis PAS boleh mencatatkan kejayaan lebih besar berbanding pilihanraya umum 2008 dan 2013 ketika berganding dengan mereka.
 
Penasihat DAP, Lim Kit Siang meramalkan jika PAS bergerak secara solo parti itu hanya boleh menang paling banyak 13 kerusi parlimen.
  
“Dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak 1959, paling banyak kerusi dimenangi PAS apabila bersendirian ialah 13 kerusi.
 
“PAS menang paling banyak kerusi parlimen pada pilihan raya umum 1999, 2008 dan 2013, apabila menjadi sebahagian daripada Barisan Alternatif pada 1999, mengelakkan tiga penjuru dengan DAP dan PKR pada 2008 dan menjadi anggota Pakatan Rakyat pada 2013,” katanya.
 
Kit Siang mendakwa Hadi hanya mahu memang di lima negeri dan 40 kerusi parlimen untuk membolehkannya menjadi ‘kuasa penentu’ nasib Pakatan Harapan atau BN.
 
Bagaimanapun, Kit Siang mempertikaikan sama ada kubu kuat PAS sendiri di Kelantan boleh dipertahankan kerana pemimpin popularnya Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sudah tiada.
 
Sementara Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula berkeyakinan bahawa PAS hanya kuat dan meraih banyak undi selepas menyokong reformasi yang dicetuskan PKR.
 
"Sejak tahun 1999 saya melihat sikap PAS di bawah Allahyarham Fadzil Noor dan (beliau) mendapat sokongan apabila beliau menyokong reformasi.
 
"Pada waktu itu PAS menyokong kami semua dan mendapat (keputusan) paling tinggi dalam pilihan raya dan (beliau) dapat menjadi Ketua Pembangkang," ujarnya.
 
Di samping itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr Raduan Che Rose menjangka:
  
"Sudah (pasti hilang banyak kerusi) kalau inilah pendirian PAS, (PAS boleh pilih) sama ada untuk mendekati BN atau akan berbaik-baik (dengan pembangkang). Itu yang kita tunggu
 
"Cara PAS letakkan diri sekarang lebih (pentingkan) prinsip perjuangan, bukan soal kalah menang lagi dah. Prinsip perjuangan nak bangunkan Islam, dia dah tak nak bersengkongkol dengan DAP. Walaupun dia tahu kesan dia sangat-sangat mencabar," ujar beliau.
 
Namun ada ahli politik yang meremehkan pendirian PAS untuk bersendirian dan sinis pula terhadap sasaran PAS menawan lima buah negeri termasuk Selangor dalam PRU 14.
 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, misalnya, menerusi laman Twitternya menyindir seorang 'tok lebai' yang mengetengahkan idea berkenaan.   
 
“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” tulis Azmin.
 
Ini dilihat reaksi Timbalan Presiden PKR itu terhadap Ketua Pemuda, PAS Nik Abduh Nik Aziz yang mengulas kenyataan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS mahu menawan Selangor pada PRU 14 selain Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.
 
Adalah jelas baik DAP mahupun PKR tidak ‘gentar’ malah memandang enteng cabaran baru PAS itu. Soalnya, adakah ini akan membuat PAS berasa kerdil?
 
Umum tahu dalam Pakatan Rakyat dahulu PAS mempunyai jentera pilihanraya yang paling berkesan. Penyokongnya umumnya bekerja kerana Allah dan bukan berharap ganjaran menang semata-mata. 
 
Bagaimanapun sebahagian jentera PAS kini sudah berhijrah ke parti Amanah. Sementara PH pula kini ghairah meraikan penyertaan PPBM ke dalam pakatan baru. 
 
Adakah ini bermakna PH akan lebih kuat? Atau, kehadiran PPBM terutama sekali pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad akan mengukuhkan pakatan politik itu atau sebaliknya?
 
Ciri-ciri kepimpinan diktatornya terserlah apabila Mahathir meletakkan syarat nama PH diubah dan semua parti pembangkang menggunakan logo dan manifesto yang sama sebelum bersetuju menjadi kerabat PH.
 
Mutakhir sekali, presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah “beban” PKR, DAP dan Amanah dengan mencadangkan Pakatan itu dinamakan Barisan Rakyat.
 
Namun lebih berat lagi ialah Muhyiddin mahu pakatan berkenaan diterajui oleh sebuah parti yang berteraskan kepemimpinan Melayu untuk menafikan undi Melayu terus pergi kepada Umno. PKR dan Amanah nampaknya tidak bersetuju.
 
Apakah tidak ada mungkin berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan PAS sejak 2008 di mana jentera pilihanrayanya terbukti menjadi faktor utama rekod baik Pakatan, akan mendorong PKR dan DAP “memujuk” PAS kembali pada PH?
 
Kedua-dua parti itu mungkin menanti isyarat dari Penjara Sungai Buloh supaya mempertimbangkan semula kerjasama dengan PAS jika Mahathir mula “berlagak” bahawa PH kini amat berharap pada kepemimpinannya?
 
Yang mungkin menjadi penghalang pada usaha “kembali ke pangkal jalan” Pakatan Harapan mungkin Parti Amanah yang pasti menggunakan kuasa veto menghalang PAS membantu “menghidupkan” semula Pakatan Rakyat.
 
Hakikat Lim Kit Siang pernah menawarkan PAS kembali ke pangkuan PKR dan DAP sudah cukup menyokong kemungkinan ini boleh berlaku. 
 
Tidakkah lebih bijak PKR dan DAP bekerjasama dengan ‘parti lebai’ yang dikenali budi pekertinya berbanding PPBM dan Amanah yang sering menonjolkan keangkuhannya walaupun wibawanya belum terbukti?
 
Apapun, hakikatnya PH masih belum mantap. Kemungkinan berlaku bantrakan di kalangan keempat-empat kerabat ini berlaku masih tidak boleh ditolak begitu sahaja.



Ruangan Komen