ISTIMEWA



 Nasional   

Muhyiddin: BN sedia gempur kubu PR WP

pada 03-06-2012 02:06 Ditulis Oleh Farah Eliana Mohd Adnand

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) kini sedia menggempur kubu Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan bagi merampas kembali tujuh kerusi parlimen yang tumbang pada pilihan raya umum yang lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata kejayaan bakal dikecapi jika ahli akar umbi mempamerkan kesungguhan memenangi hati rakyat.

"Inilah tugas kita, harap jentera di bawah bergerak.

"Kemenangan akan berada ditangan kita kalau kita bekerja bersungguh-sungguh," kata beliau pada Majlis Perasmian Jentera BN Wilayah Persekutuan di Stadium Titiwangsa di sini.

Perhimpunan seramai 5,000 anggota dan ketua-ketua komponen-komponen parti BN itu turut dihadiri oleh badan dan persatuan yang menyokong BN.

Menurut Muhyiddin, pelbagai program transformasi dan inisiatif berterusan kerajaan untuk membantu menambahbaik kehidupan rakyat yang dilaksanakan telah menambat hati rakyat dan mereka bersedia untuk kembali menyokong BN.

"Ini merupakan faktor-faktor tambahan yang telah memberi kelebihan kepada kita dan telah membawa keyakinan baru kepada rakyat," katanya.

BN cuma menang tiga daripada 12 kerusi Parlimen di kawasan Wilayah Persekutuan pada PRU ke-12 iaitu di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan.

Muhyiddin juga meminta semua anggota BN untuk sentiasa bersiap sedia dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk kerap turun padang bagi membantu rakyat jelata dan bukannya hanya menunggu untuk berbuat demikian pada waktu dekat-dekat dengan pilihan raya.

"Bubar tak bubar kita dalam BN akan akan terus bekerja, jangan berhenti. Kita jumpa dengan pengundi beritahu mereka, pujuk mereka, rayu mereka tolong kita dan kita akan tolong mereka dengan lebih besar lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya tidak merasa selesa atau terlalu yakin dengan keadaan Pakatan yang disifatkannya sebagai bercelaru ketika ini.

Katanya, jentera pilihan raya BN itu sendiri juga perlu yakin dengan parti sendiri jika ingin meraih sokongan dan keyakinan daripada orang ramai khususnya pengundi.

"Jangan bila orang tanya, soal macam-macam kita jawab tak tahu. Kita sebagai jentera mesti tahu, kerana apa kita kata, apa kita buat, apa kita tak buat semua akan dinilai oleh pengundi," katanya.

Katanya, Pakatan juga sengaja melancarkan perang psikologi untuk memanipulasi pemikiran rakyat supaya menjatuhkan kerajaan cara ala "Arab Spring", kerana mereka sedar sokongan rakyat terhadap mereka kini kian meleset.

Beliau berkata ini kerana Pakatan juga mulai sedar adalah sukar bagi mereka untuk memenangi PRU ke-13 secara demografi kerana BN kini sudah kembali kuat, kukuh dan bersatu.

"Ini mungkin merupakan satu perang psikologi besar yang dibuat untuk memanipulasi pemikiran rakyat bahawa apabila kerajaan BN menang (dalam PRU ke-13), kerana mereka tahu mereka susah mahu tumbangkan BN secara demografi, ia akan menimbulkan kemarahan rakyat dan isytihar kemenangan itu adalah tidak sah," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menyentuh program "Himpunan Hijau ke Putrajaya" yang dianjurkan PAS Jumaat lalu dan secara berseloroh berkata beliau menyambut baik "inisiatif" pembangkang itu untuk menghijau dan menanam lebih banyak pokok di Putrajaya.

Bagaimanapun, dalam nada serius beliau berkata program itu jelas menunjukkan bahawa pembangkang semakin tidak yakin dengan kekuatan mereka yang kononnya mahu menawan Putrajaya kerana sebelum ini pun mereka pernah lantang melaungkan 'road to Putrajaya'.

"Sokongan kepada BN sekarang di seluruh negara semakin kuat dan pembangkang gemuruh," katanya.


Ruangan Komen