ISTIMEWA



 Nasional   

Khalid "batu penghalang" isu air S'gor - Khir

pada 03-06-2012 03:06 Ditulis Oleh AHMAD FADZLY ESA

Post Pic

 

SHAH ALAM: Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa projek pembinaan loji Langat 2 tidak akan menyebabkan kenaikan tarif air kerana ia merupakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan rakyat Selangor mendapat bekalan air terawat mencukupi.

Malah menurut bekas Menteri Besar Selangor itu kerajaan negeri hanya perlu membelanjakan sejumlah RM 2 bilion sahaja dan selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan Pusat.

"Maksudnya kerajaan persekutuan tidak akan mengenakan bil kepada rakyat, mereka tidak faham ini adalah komitmen kerajaan persekutuan untuk memajukan negeri Selangor.

"Rezab air terawat di Selangor tidak mecukupi ini yang kita bimbang. Kalau kerajaan negeri nak bina, dia boleh bina loji yang lain tiada masalah," tegasnya ketika dihubungi AntaraPos.com.

Beliau menambah selama empat tahun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memerintah, tiada satu pun program kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjurus kearah untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di Selangor.

"Dia hanya pandai cakap sahaja," katanya lagi.

Khir diminta mengulas kenyataan Khalid yang bercadang untuk mendapatkan bekalan air dari Tasik Kenyir melalui terowong bawah tanah untuk menampung masalah kekurangan air di negeri itu menjelang 2014.

Khalid turut menjelaskan pendirian kerajaan negeri untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan Pusat membina loji Langat 2 yang didakwa lebih mahal.

"Bila angkut air bawah tanah kena banyak gunakan pam dan kos pengurusan lebih tinggi satu hari nanti. Kenapa dikaitkan dengan tarif air, saya tidak faham kerana projek (kerajaan persekutuan) membina terowong dan Langat 2 untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan dan kos tidak akan dibil keatas tarif.

"Ini kerana soal tarif air antara pembinaan Langat 2 dengan projek pemindahan air daripada Pahang adalah dua perkara berbeza. Dari mana nak ambil duit 12 bilion, bagi saya inilah orang bercakap tidak ada ilmu tidak cerdik menang susah. Saya tak nampak satu projek besar dibina (kerajaan negeri) dalam 4 tahun," kata beliau lagi.

Dalam pada itu Khir turut mendesak Khalid untuk menyelesaikan isu asas dengan menggantikan meter pukal paip di flat-flat negeri kepada meter individu bagi membuktikan mereka benar-benar serius mahu menangani masalah air.

"Kalau nak ganti meter pukal tak selesai macam mana nak selesaikan masalah yang lebih besar. Berapa ramai rakyat miskin yang tidak dapat air percuma.

"Jadi kalau isu air ini dia (Khalid) kata boleh selesaikan, saya boleh rasakan mereka ibarat bermimpi di siang hari, soal ganti meter pukal tak selesai nak bina loji..Kerajaan negeri nampaknya cakap cukup besar macam dia cakap nak bagi bantuan kepada ibu tunggal tetapi tiada," tambah beliau.


Ruangan Komen