ISTIMEWA



 Nasional   

Akaun berbeza: CASSA syor buat laporan polis

pada 03-06-2012 08:06 

Post Pic

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan negeri Kelantan yang menggunakan nama yang berbeza bagi akaun dana Lebuhraya Kuala Krai- Kota Bharu (KK-KB) adalah satu niat jahat, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

"Pada saya, itu niat jahat, kita tidak boleh terima tindakan itu," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, tindakan itu menyalahi undang-undang kerana setiap akaun yang dibuat bagi meminta sesuatu dana atau derma haruslah telus.

"Dari segi undang-undang, itu salah. Mereka perlu jelas. Kalau ini untuk projek kerajaan negeri, itu mesti bawah kerajaan negeri atau sub akaun dan ia mesti diaudit," katanya.

George berkata, jika sesuatu akaun dibuat di bawah kerajaan negeri, ia perlu dinamakan mengikut akuan khas  yang dibuka oleh kerajaan negeri manakala pentadbiran akaun itu haruslah telus dengan tidak melindungi sebarang transaksi.

"Mesti menunjukkan invois, data, untuk menunjukkan berapa banyak wang diterima, berapa banyak yang dibelanja dan ianya perlu telus," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, berkata tindakan kerajaan negeri meminta derma daripada rakyat untuk membina lebuh raya adalah gimik parti politik PAS.

"Itu lebuhraya lawak jenaka. Lebuhraya gimik parti politik PAS," sindirnya.

Malah, beliau turut menyeru orang ramai terutamanya rakyat Kelantan agar tidak menderma untuk lebuh raya berkenaan kerana mereka akan tertipu.

"Saya menyeru orang ramai, jangan menderma kepada dana lebuh raya ini. Membazir, membuang duit sahaja. Ini untuk tagih simpati rakyat,"  kata beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas.


Ruangan Komen