Array


 Komentar   

Cemburu pacu strategi songsang pembangkang

pada 08-04-2017 12:04 

Post Pic

 
[ULASAN] Di segi strategi, langkah yang disusun oleh parti-parti pembangkang nampak ampuh. Bahawasanya kali ini dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14), mereka akan perkenalkan sebuah parti politik baru.
 
Usaha sedang dilakukan untuk mendaftarkan parti yang menghimpunkan aspirasi PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Logo, warna dan manifesto parti-parti berkenaan akan dipadukan sebagai kesatuan hati, azam, matlamat perjuangan pembangkang.
 
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya pembangkang menggunakan pendekatan Barisan Nasional menghimpunkan kerjasama 13 parti politik untuk mencapai matlamat yang satu – bunuh Umno untuk mentadbir Malaysia.
 
Strategi BN terbukti berkesan sejak 1973 lagi. Dr Mahathir mahu pembangkang segera ‘meniru’ pendekatan ini sementara presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan Barisan Rakyat (BR) digunakan sebagai nama baru pembangkang. 
 
Di peringkat ini lagi pembangkang menemui halangan besar. BN mampu mencatur politik sedemikian kerana ia sudah mempunyai rekod politik yang jelas memenuhi kehendak kerjasama politik yang kuat. 
 
Rekod Umno sebelum tertubuh BN memang sudah begitu gah. Namun ia menghormati hak dan memberi nilai tinggi pada konsep kerjasama dan saling memperkukuh sesama taulan politik mereka seperti MCA, MIC, PBB, Usno dan sebagainya. 
 
Sebagai imbalannya, parti-parti berkenaan tidak teragak-agak memilih Umno menjadi peneraju BN. Sejarah BN melambangkan realiti hubungan sosio-politik di negara ini.
 
Politik pembangkang tak konsisten
 
Ini berbeda dengan BR. Masing-masing tiada rekod politik yang konsisten. Pakatan ini berteraskan tiga parti Melayu dan sebuah parti berpaksikan kepentingan politik Cina. Namun hakikatnya, prestasi DAP yang terbaik.
 
Keputusan dua pilihanraya umum (2008 dan 2013) mengabsahkan bahawa prestasi DAP layak mengangkatnya menjadi peneraju BR. Namun tiga parti berteras Melayu BR masih diselaputi rasa cemburu sesama mereka dalam saingan mahu menjadi parti dominan BR.
 
PPBM mendakwa layak kerana ia mempunyai jaguh veteran – Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Namun parti seerpihan Umno itu hanya ada satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja dan kekuatannya belum teruji.
 
Dalam pada itu rekod PKR pula menunjukkan kemerosotan daripada 32 pada PRU 2008 kepada 31 pada  PRU2013. Tambahan pula bukan semua ahli parlimen mereka berbangsa Melayu. 
 
Amanah pun tiada rekod politik. Parti serpihan PAS ini “merampas” dan menayangkan 6 kerusi parlimen yang dimenangi PAS pada 2013 dan 6 kerusi DUN sebagai modal sejarah yang mereka ada. 
 
Terkecuali ketiga-tiga parti ini menerima hakikat bahawa DAP patut menjadi peneraju BR, adalah sukar bagi PKR, PPBM dan PAN menerima salah daripada mereka sebagai ketua. 
 
PKR mahu presiden mereka, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi tekong BR. Pada mulanya, DAP bersetuju namun DAP melihat kehadiran Tun Mahathir menggerhanakan rekod Wan Azizah, dan ada yang mempertikaikan kepemimpinan isteri Anwar Ibrahim itu.
 
Muhyiddin nampaknya galak mahu menjadi pemimpin BR. Namun sokongan PAN dan PKR nyata tidak berpihak kepadanya mungkin rekod politik Muhyiddin tidaklah cemerlang.
 
Selesai isu agih kerusi
 
Soal keyakinan ini perlu diterjemahkan pada pengagihan kerusi PRU 14. PPBM mendakwa ia pengganti Umno dan mahu menandingi Umno di seberapa kerusi yang boleh. PPBM juga yakin ia boleh menundukkan PAS. Sifir PPBM, ia perlu bertanding lebih 70 kerusi. 
 
Sebagai parti Melayu, PPBM mahu tumpu perhatian merebut kerusi parlimen di Semenanjung sahaja. Baginya, PKR yang membina imej parti pelbagai kaum seharusnya menumpukan perhatian di Sabah dan Sarawak. Yang pastinya, PKR tidak bersetuju.
 
Amanah sebagai parti serpihan PAS pula mensasarkan menandingi kerusi yang ditandingi PAS. Oleh kerana PAS pula mahu bertanding semua kerusi tradisinya lebih 40 kerusi, maka jumlah parlimen tidak cukup menenuhi nafsu politik PPBM,PKR dan PAN. 
 
Malangnya, PPBM tidak mahu berganjak daripada tuntutan ia adalah “pewaris Umno” dan mahu turut bertanding di kerusi tradisi PAS. PAN semakin tidak bersetuju. 
 
Justeru hanya DAP yang tidak bermasalah menuntut peranan peneraju BR. Namun memaklumi bahawa pengundi Cina berjumlah hanya kira-kira 28 peratus sahaja, pasti sukar baginya melaksanakan tugas sebagai pemimpin BR. 
 
Prejudis Melayu masih tebal terhadapnya. Malah ini pasti menjejaskan peluang PAN, PKR dan PPBM yang akan kelihatan “lembik” dan hanya mengikut telunjuk politik DAP.
 
Bagaimanapun sebagai pelan gantinya, DAP mula mendaftarkan lebih ramai ahli politik Melayu seperti Dr Aziz Bari, Datuk Zaid Ibrahim dan sebagainya dengan harapan prejudis ia parti Cina dapat dikikis.
 

 



Tags : Cemburu Strategi pembangkang


Ruangan Komen