ISTIMEWA



 Komentar   

Ulama jangan takut tegur ahli politik Malaysia

pada 05-06-2012 04:06 Ditulis Oleh Zainal Saleh

Post Pic

Jika Ulama Pewaris Nabi Mengapa Takut Memimpin Ahli Politik?

Oleh Zainal Saleh



Yang pasti bukan semua ahli PAS akan masuk syurga. Begitu juga barisan pimpinannya. Yang pasti juga bukan semua ahli Umno akan masuk neraka. Ada juga yang akan masuk syurga. Namun yang lebih tepat lagi ialah, kuasa menentukan siapa masuk syurga dan neraka adalah hak Allah aza wajalla.

Meskipun PAS cuba disinonimkan sebagai "Parti Ajaran Sesat" oleh pihak tertentu, yang pastinya pihak berkenaan cuba mengambil alih hak Allah. Bukan manusia atau parti politik yang berhak dan berkuasa menentukan siapa sesat dan siapa terpimpin di jalan Allah kecuali Allah jua.

Dalam nada yang sama sesiapa jua yang enggan mengiktiraf keimanan ahli-ahli Umno kerana “tidak berhujah dengan Al-Quran”  dilihat juga cuba merampas hak Allah. Ini satu kezaliman yang dilakukan atas nama peribadi mahupun parti politik yang mereka wakili.

Demikian ngeri dan ngilunya kedudukan politik orang Islam berketurunan Melayu di Malaysia hari ini. Demi politik, masing-masing bukan sahaja cuba merendahkan martabat dan iman pihak seterunya, malah tidak segan silu mendabik dada bahawa nilai dan ukuran iman orang lain lebih rendah daripada martabat mereka. Astaghfirullah.

Sukatan keangkuhan ini ialah, kini ahli-ahli politik Melayu Islam dengan sombong sedia mencabar sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka, untuk berdebat. Selera baru ini  mungkin didorong oleh moderator debat Rafizi-Khairy, Dr Maszlee Malik bahawa kononnya debat adalah lambang masyarakat bertamadun dan berpendidikan.  

Maka debat dalam sekelip mata jadi igauan dan cabaran baru. Pemuda PAS Gombak mencabar Sekretariat Ulama Muda (ILMU) untuk berdebat mengenai siapa sesat – PAS atau Umno. Bayangkan soal akidah hendak diselesaikan melalui debat. Itu hak Allah. Yang suka berdebat ialah pihak yang ego dan angkuh. Jika hujahnya mematahkan suara lawan, ia dikira menang. Namun apakah kemenangan bererti kebenaran?

Zaid Ibrahim pula mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berdebat mengenai kandungan buku tulisan Irshad Manji. Beliau mahu mematahkan hujah Exco agama Selangor, Khalid Ibrahim bertindak mengharamkan buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” yang diterbitkan oleh syarikat anaknya.

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang pula kini bersedia berdebat dengan Umno dan bukan muzakarah. Beliau tidak mahu muzakarah dengan parti nasionalis itu kerana “Umno tidak berhujah dengan Al-Quran”. PAS, kata Hadi hanya mahu bermuzakarah dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam sahaja. Maknanya, Umno bukan parti Islam!

Tiba-tiba PAS hilang kesabaran dan “naik tocang” dengan keyakinan bahawa sebagai ahli dan pemimpin parti politik Islam, berhujah dengan Al-Quran adalah hak mutlak beliau dan partinya. Pihak lain seolah-olah tidak layak mengimbas Al-Quran apabila berhadapan dan berhujah dengannya. Nauzubillah min za lik.

Kesombongan dan kemunafikan sudah hampir sampai ke kemuncaknya dalam politik Melayu-Islam di Malaysia. Bukan tiada ulama yang berbeza pandangan dan pendirian dengan PAS yang mana pandangan mereka perlu diberi perhatian. Namun PAS tidak menghiraukan pandangan lain. Jika tidak serasi dengan pandangannya PAS menyimpulkan, ulama berkenaan adalah memihak kepada Umno!

Begitu juga bukan tiada ulama yang tinggi ilmunya yang tidak bersilang pendapat dengan Umno. Ramai. Pandangan dan pendirian mereka juga harus dihormati dan dipertimbangkan. Namun Umno berasa cukup dengan sekadar ada sekelompok ulamanya sendiri sebagai rujukan dalam berbicara hukum dan adab politiknya.  

Cuma yang menjadi masalahnya ialah ulama umumnya dilihat sebagai turut berpuak – Umno atau PAS; Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Ini semua kesilapan ulama. Mereka yang tidak mahu menggunakan ilmu yang dikurniakan Allah untuk mengambil pendirian wajar dalam pertempuran politik ego dan gila kuasa umarak.

Seharusnya ulama sebagai pewaris nabi harus meletakkan diri mereka sebagai penyuluh jalan. Ke mana pergi Persatuan Ulama? Ke mana hala tuju badan-badan dakwah? Menegur ahli dan pertubuhan politik adalah wajib. Dalam urusan politik tugas ulama ialah mengadili pandangan agama politikus; bukan menikus kerana mereka mungkin ada kuasa dan pengikut yang ramai!

Tugas ulama ialah menegur dan melentur umarak. Tidak kira politikus itu namanya sebesar Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim; Hadi Awang atau Nik Aziz Nik Mat dan mungkin Jamil Khir Baharom. Ulama mestilah berdiri di sfera atau ruang ilmu dan KEBENARAN dan bukan turut hanyut atau gugup di hadapan ahli politik.

Ulama Malaysia harus ikhlas menegur umarak. Untuk itu ulama dalam persatuan atau pertubuhan orang-orang berilmu harus tampil untuk berbincang secara Islami dan luhur untuk menegur mana yang salah; haram; harus dan juga sesat.

Jika tidak ahli-ahli politik, termasuk mereka yang dianggap ulama akan terus dengan keangkuhan ilmu mereka dan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman ke atas orang lain yang tidak sependirian dengan mereka sebagai munafik dan sesat!

Kini nampaknya, jika ulama sesama ulama tidak mahu dan tidak tahu menahan amarah, ego dan juga kecenderungan politik mereka bagaimana mereka mampu menjadi penyuluh bagi umat terutama dalam soal perpaduan umat, misalnya? Dengan perkataan lain, bagaimana mereka akan layak menjadi pewaris nabi?

Ulama Malaysia harus keluar dari kepompong selesa sebagai orang suci dan bersedia mengotori persada politik seketika ibarat menggunakan tanah untuk membersihkan najis.  Ulama yang sudah sedia ada dalam PAS dan Umno seharusnya menjadi golongan yang paling layak dipersalahkan jika umat Islam-Melayu di Malaysia berpecah dan bermusuh kerana mereka enggan bermuzakarah dan merintis jalan perdamaian dan silaturrahim. Wallahu alam

Ulama memang pandai menggambarkan seksa neraka. Memang peringatan mereka mampu menanam kegerunan dalam hati pendengarnya yang takut dosa dan dambakan pahala. Namun ulama sering lupa dalam mengingatkan orang lain mereka seolah-olah berfikir bahawa mereka tidak mungkin dicampakkan ke dalamnya.

Di mahkamah Allah kelak bukan PAS atau Umno yang menjadi pertimbangan. Maka ahli PAS dan Umno janganlah terlalu taksub. Apabila roh bercerai dari badan, segala kekuatan dan pendirian politik akan luntur jika dalam berpolitik mereka berasa hanya hujah mereka sahaja yang betul dan benar.

Jika takut pada Allah, berhentilah mengutuk orang yang mempunyai pemikiran berbeza. Janganlah dengan sedar mendabik dada bahawa kononnya iman mereka lebih benar daripada orang yang menjadi ahli parti lain. Insaflah.


Ruangan Komen