ISTIMEWA



 Nasional   

Azmin perlu buktikan PKR boleh menang - Faekah

pada 16-06-2012 01:06 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang dihujani desakan untuk melepaskan jawatan sebaliknya menggesa Azmin Ali membuktikan bahawa Timbalan Presiden PKR itu boleh membantu parti tersebut untuk menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Faekah yang dipetik laporan akhbar The Star sebagai berkata, beliau bukan individu yang harus dipersalahkan sekiranya rakyat mempersoalkan kepincangan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Saya rasa sasaran sebenar adalah bukan diri saya dan saya hanya 'punching bag' (beg tinju).

"Semua orang tahu apa jua keputusan atau komen yang saya buat, boleh katakan semua berkaitan dengan Geran SelangorKu sebenarnya keputusan dari Tan Sri Khalid. Saya hanya pelaksana.

"Dia (Azmin) perlu buktikan yang dia boleh bantu PKR menang pilihan raya akan datang," memetik kenyataan kepada The Star.

Media difahamkan kempen yang kononnya menggunakan slogan #kamisayangPKR adalah agenda terbaru ahli-ahli PKR yang mahu Faekah dipecat dengan segera.
 
Kontroversi semakin memuncak apabila difahamkan akaun #kamisayangPKR di Twitter itu dibina sendiri oleh orang kuat Azmin.

Azmin walau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan itu.

Malah desas-desus menyatakan bahawa Faekah kini lebih bersikap lantang mengkritik pemimpin PKR kerana mendapat sokongan moral dari presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution sebelum ini menyatakan bahawa kecaman yang diterima Faekah tersebut adalah soal berkaitan kerajaan Selangor dan bukannya bersabit dengan parti.

Perang dingin antara Faekah dan Azmin bermula selepas perlantikan kontrovesi Faekah sebagai Setiausaha Politik kepada Khalid pada tahun 2010 menggantikan ADUN Seri Muda, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini Pengarah Komunikasi PKR.

Faekah dilihat sebagai terlalu mempengaruhi keputusan-keputusan Khalid sehingga menjejaskan program-program yang ingin dilaksanakan oleh PKR di Selangor.

Malah wakil rakyat parti itu merungut Faekah lebih berkuasa daripada Exco Selangor dan ahli Biro Politik PKR sendiri.

Adalah difahamkan beberapa usaha parti untuk "menasihati" Khalid supaya mengekang kuasa dan pengaruh Faekah tidak berjaya.

Pada awal bulan ini, Faekah mengkritik Azmin secara terbuka setelah Timbalan Presiden PKR itu memberi amaran PKR tidak boleh membenarkan "politik keluarga" mempengaruhi keputusan parti.

"Nasihat" Azmin itu disifatkan sebagai peringatan kepada Presiden Parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang menjadi bekas majikan Faekah.


Ruangan Komen