ISTIMEWA



 Nasional   

Rakyat Johor tolak manifesto PAS

pada 16-06-2012 01:06 Ditulis Oleh AHMAD FADZLY ESA

Post Pic

 

BATU PAHAT: Penduduk di sini sebulat suara menolak PAS bersama manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang ditawarkan kepada rakyat di negeri itu kerana disifatkan tidak masuk akal.

Rata-ratanya mengakui sejak dari dahulu lagi hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang layak membela nasib rakyat Johor.

Veteran Umno Batu Pahat, Abdul Jalil Tahar berpendapat bahawa janji manifesto PAS untuk menawan Johor hanya retorik semata-mata.

Tambahnya, tindakan PAS mencedok manifesto yang pernah ditawarkan Pakatan Rakyat Selangor dilihat gagal mempengaruhi sokongan rakyat di sini selain disifatkan ianya sebagai idea "terencat akal".

"Pasal apa saya kata "terencat akal", dia (PAS) lupa Johor dengan Selangor adalah dua negeri yang berbeza daripada segi penduduknya contohnya Johor khususnya di Batu Pahat adalah anak-anak jati Johor sendiri. Sedangkan di Selangor kebanyakan adalah orang pendatang.

"Jadi bolehlah dia memainkan manipulasi, populis cara dia berfikir mengikut cara politiknya. Saya rasa kalau dia boleh dapat menawan beberapa parlimen di Johor, sebenarnya dia bermimpi di siang hari atau baru bangun tidur dan suka-suka untuk membuat provokasi.

"Sebenarnya pada saya orang Melayu di Batu Pahat khususnya mendapati sebenarnya PAS sudah lama tidak laku apatah lagi dengan janji-janji dia. Umno di Batu Pahat sudah masak benar dengan politik, orang Umno di Johor lebih tahu sejarah perjuangan bangsa Melayu khususnya daripada segi perjuangan Umno," jelas beliau.

Bagi pesara kakitangan kerajaan Hassan Abas berkata, rakyat di Johor pandai menilai dan menyifatkan manifesto PAS sebagai janji-janji kosong semata-mata.

Beliau mengambil contoh cukai pintu di negeri itu yang masih rendah berbanding negeri lain.

"Sebagai contoh saya, rumah kira selesa dalam bandar cukai pintu baru RM44, biasa saja normal.

"Kalau kata dia (PAS) nak kecil atau nak kurangkan mampukah dia menyimpan memberi kemudahan lain pasal apa kita tahu pembangunan Johor begitu pesat," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta Azni Aliman menggesa PAS menjelaskan dengan lebih terperinci cara untuk melaksanakan perkhidmatan WIFI percuma di Johor dalam manifesto PRU13 mereka.

"Saya nak tanya bagaimana perkhidmatan WIFI percuma itu. Minta dijelaskan. Ini dah tahun 2012 tak lama lagi tahun 2020, budak sekolah masih bawa beg berkilo-kilo, sepatutnya bawa laptop. Saya tak nampak lagi dan nampak memancing undi dan janji tidak ditepati nampaknya," tegasnya.

Manakala pekerja swasta Yee Sing Liang berkata, beliau langsung tidak tertarik dan percaya dengan janji dalam manifesto PAS yang diumumkan baru-baru ini.

"Kalau PAS punya kata tak boleh pakai langsung. Saya fikir kalau BN ok sikit, kalau PAS tak berapa boleh percayalah.

"Dia sampai sekarang janji tetapi janji tidak pernah betul-betul buat," ujarnya.

Pendapat sama turut dikongsi Jamal Naim yang menyatakan dari dulu sampai sekarang hanya kerajaan BN khususnya UMNO yang layak memerintah.

Malah, kakitangan kerajaan itu turut memberikan pandangan secara peribadi bahawa PAS tidak mungkin boleh memerintah di negeri ini dan rakyat khususnya tidak dapat menerima parti itu.

"Tetapi di Johor saya rasa memang tak dapat, memang kita daripada dulu memang Umno. Umno pun berasal dari Batu Pahat kita kekalkan UMNO di Batu Pahat supaya maju Malaysia ini kerana UMNO lah, itu saja yang kita harapkan.

"Tentang manifesto ini kita tidak boleh baca, apa orang nak tulis orang boleh tulis dan apa orang nak cakap orang boleh cakap, nanti kalau dah jadi baru tahu macam," ujarnya.


Ruangan Komen