Array


 Komentar   

Amanah bukan lagi anak kandung PAS?

pada 12-07-2017 11:07 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] Datuk Husam Musa mungkin girang mendapat pengiktirafan Lim Kit Siang dan DAP untuk menjadi calon Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Berbanding Presiden, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayob, beliau baru sahaja menyertai parti itu dan menyandang jawatan Naib Presiden tetapi DAP meletakkannya jauh lebih tinggi dan berwibawa memegang jawatan berkenaan.
 
Bagaimanapun kebanggaan Husam akan realiti itu nampaknya sedikit terganggu. Sampai bila beliau boleh bertahan sebagai pemimpin lebih “cekap dan baik” berbanding dua bekas ahli parlimen Kelantan jika hanya dengan sokongan DAP?
 
Husam perlu berpaut pada kerjaya politik yang bersih dan luhur. Kaedah ini cuma ada pada PAS. Dibandingkan PAS dengan DAP di mata pengundi Kelantan, tentu PAS dianggap lebih luhur dan suci. Jika bersandarkan pada sokongan DAP kerjaya Husam mungkin tidak lama.
 
Kelantan negeri Islam-Melayu di mana soal nasab keturunan seseorang pemimpin menjadi isu penting di mata rakyat. Apatah lagi jika baik Mohamad Sabu dan Salahuddin juga berminat untuk menduduki kerusi Menteri Besar.
 
Lambat laun soal keluhuran partinya akan dipersoalkan. Sebab itu awal-awal lagi Husam menegaskan bahawa Amanah ialah ‘anak kandung PAS’. Agak menyedihkan bila Husam terpaksa meyakinkan khalayak ramai partinya bukan ‘anak luar nikah’.
 
Betapa gelojohpun seseorang ahli pollitik, ia masih mahu dihubungkan dengan nasab keturunan yang luhur, bersih dan mulia. Maka tanpa silu Husam menyatakan Amanah, pemimpin-pemimpinnya, termasuk beliau sendiri, lahir dari rahim PAS.
 
Namun satu hakikat yang perlu beliau dan pimpinan Amanah fikirkan benarkah Amanah itu “anak kandung PAS”?
 
Apakah Amanah lepas pandang atau sengaja menyorokkan hakikat berhubung isu nasab keturunan yang sudah ditentukan al Quran. Sesungguhnya kuasa mutlak menentukan soal ini ialah Allah azza wajalla. 
 
Perhatikanlah sahaja peristiwa Nabi Nuh a.s. dan anaknya, Kana’an yang lebih cenderung menuruti pendirian ibunya, Wal’ab binti Ajwil yang mempertikaikan kerasulan Nabi Nuh. 
 
“Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya (Kana’an), sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil: "Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.” Surah Hud, ayat 42:
 
Namun anaknya menolak pelawaan bapanya itu dengan dialog yang dikisahkan al Quran:
 
“Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!" Nuh berkata: "Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang". Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan. Surah Hud ayat 43.  
 
Nabi Nuh a.s. kemudian mencatatkan kekecewaan kerana tidak dapat menyelamatkan anaknya melalui dialog al Quran jua:
 
“Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya". Surah Hud ayat 45
 
Bagaimanapun persepsi Nuh ini disanggah oleh Allah s.w.t. sendiri:
 
“Allah berfirman: "Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatan)nya perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat)nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan". Surah Hud, ayat 46

Akhirnya Nabi Nuh akur hakikat bahawa Allah berhak memutuskan sebarang nasab keturunan manusia, institusi mahupun parti politik. Naratif al Quran ini membuktikan Amanah bukan keluarga PAS. Ia musuh PAS. 
 
Mungkin di segi biologi sejarahnya, Amanah dapat diperkirakan sebagai anak kandung PAS namun jika benar sekalipun ia tetap ‘anak derhaka’ dan Amanah tetap berketuakan DAP. 
 
Tambahan pula pemimpin Amanah juga pernah melanggar adab yang telah ditentukan berhubung isu bai’ah dan sumpah. Demi mahu menjarakkan diri daripada nasab PAS, beberapa pemimpin Amanah, termasuk Husam, mengambil enteng soal bai’ah itu.
 
Lantas Nabi Nuh a.s. menerima ketetapan Allah melalui doa berikut: 
 
“Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui hakikatnya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, niscaya aku akan termasuk orang-orang yang merugi". (Surah Hud ayat 47).
 
Campurtangan Kit Siang dalam politik Amanah dan Kelantan harus diamati oleh pengundi Kelantan yang majoritinya Melayu-Islam. Meskipun Amanah mengaku ‘anak kandung PAS’, gelagatnya lebih rapat pada Kana’an, anak Nabi Nuh a.s.yang diisytiharkan Allah sebagai bukan lagi keluarga Nuh a.s.
 


Tags : Amanah kandung PAS


Ruangan Komen