ISTIMEWA



 Nasional   

Azizan diminta jelas jumlah peruntukan kpd KUIN

pada 17-06-2012 03:06 

Post Pic

 

 
KUALA NERANG: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta supaya membuat pengakuan kepada umum tentang jumlah peruntukan kerajaan negeri kepada Kolej Universiti Insaniah (KUIN).
 
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau mendapat maklumat bahawa jumlah yang dikeluarkan oleh Pegawai Kewangan Negeri kepada KUIN adalah sangat besar.
 
"Saya mengambil contoh jika kutipan hasil tanah di Kedah ialah RM160 juta setahun, berapakah daripada RM160 juta itu telah dibelanjakan untuk KUIN," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keanggotaan Umno dekat sini.
 
Mahdzir yang juga ADUN Pedu berkata beliau bimbang dengan kadar perbelanjaan wang negeri terhadap KUIN dan berasa sangat kecewa dengan perkara itu.
 
"Itu yang membimbangkan. Kalau nak belanja betul-betul tidak apa, buat satu demi satu. Tapi semua orang tahu Fakulti Perubatan dan Kejuruteraan tak boleh jalan, duit terpaksa dibelanjakan tapi Azizan tak nak mengaku juga.
 
"Baliklah ke pangkal jalan sebab KUIN asasnya adalah Bahasa Arab, Usuluddin, Syariah dan Muamalat Perbankan Islam," katanya.
 
Mahdzir berkata beliau juga mahu kerajaan negeri menjelaskan tentang kedudukan Insan Holding Sdn Bhd sebagai anak syarikat KUIN yang memegang semua duit kerajaan negeri. 
 
"Contohnya duit yang masuk kepada kerajaan negeri dipegang oleh Insan Holdings Sdn Bhd dan Pengerusi Insan Holdings ialah Rektor universiti itu. Di KUIN juga ada seorang Pegawai KCS (Kedah Civil Servant) yang telah ditempatkan sebagai Timbalan Rektor KUIN.
 
"Saya difahamkan oleh ramai pensyarah di situ bahawa Timbalan Rektor dari KCS itu disejuk beku, tidak ada kerja untuk dia. Jadi kenapa wujudkan jawatan itu kalau tak ada kerja untuk dilakukan," katanya.
 
Pada majlis penyerahan borang itu, seramai 148 penduduk dalam kawasan peti undi Kampung Padang Nyior menyertai Umno dengan 20 daripadanya adalah bekas anggota PAS.
 
Mahdzir berkata antara faktor yang menyebabkan mereka memilih Umno ialah kerana yakin ia adalah parti yang memperjuangkan orang Melayu.
 
"Bagi ahli PAS yang menyertai Umno, mereka sendiri telah melihat adu domba dalam Pakatan Rakyat. Jadi mereka merasakan mereka perlu mencari satu entiti yang boleh dilihat dan disokong bagi membela orang Melayu dan tak lain tak bukan mereka memilih Umno," katanya.
 

Ruangan Komen