ISTIMEWA



 Nasional   

Tilawah: Wanita Kelantan rugi 20 tahun - Mustapa

pada 17-06-2012 03:06 

Post Pic

 

 
KOTA BHARU: Dasar kerajaan PAS Kelantan yang berubah-ubah berhubung penyertaan wanita dalam Tilawah al-Quran ternyata merugikan wanita Islam di negeri ini, kata Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
   
Beliau berkata larangan penyertaan wanita dalam Tilawah yang dibuat pada 1990 menyebabkan wanita Islam Kelantan rugi lebih 20 tahun dalam  memberi sumbangan mereka terhadap acara tersebut.
   
"Keputusan Pas lebih kepada kepentingan politik, terburu-buru. Pada 1990 lain keputusannya dan pada 2012 lain pula keputusannya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penerangan Umno Kelantan di sini hari ini.
   
Beliau mengulas langkah Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi laluan semula kepada peserta wanita menyertai Tilawah bermula tahun depan, setelah menghalangnya mulai 1990.
   
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Pas sudah tersasar dan melakukan kesilapan yang amat besar dalam hal penyertaan wanita dalam Tilawah dan kini terpaksa mengubah pendirian tersebut demi kepentingan politik.
   
"Kita harap rakyat Kelantan insaf dan sedar bahawa wanita Islam Kelantan rugi 20 tahun kerana tidak dapat menyertai Tilawah. Tilawah bukan sahaja untuk menegakkan syariat Islam tetapi untuk menggalakkan seluruh umat Islam mendekati al-Quran. Tilawah anjuran Malaysia kini diikuti negara lain dari seluruh dunia," katanya.
   
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) konsisten dalam penganjuran tilawah yang boleh melibatkan lelaki dan wanita sehingga menjadi contoh kepada negara lain, yang turut melihat kejayaan besar Malaysia dalam memajukan Islam.
   
"Malaysia terus mencetuskan idea baru dalam memajukan Islam seperti memperkenal perbankan Islam dan pendidikan Islam. Tiada sesiapa boleh  menafikan sumbangan kerajaan BN dalam membangunkan Islam," kata Mustapa.

Ruangan Komen