ISTIMEWA



 Nasional   

Sambutan Himpunan Hijau PAS Johor suram

pada 17-06-2012 05:06 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

 

TANGKAK: Hanya kira-kira 1,000 orang hadir pada Himpunan Hijau anjuran Pas di Johor malam tadi, sekali gus menandakan sambutan suram terhadap cubaan parti itu menawan negeri yang menjadi kubu kuat Umno selama ini.
 
Kehadiran pemimpin kanan parti termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang gagal menarik penyokong parti itu daripada seluruh negara untuk bertandang ke Johor sebagaimana yang berlaku dalam kes Kedah awal bulan ini.
 
PAS sebelum ini melancarkan manifesto khas untuk Johor dan mengumumkan Naib Presidennya Sallehuddin Ayob akan menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
 
Manifesto itu yang mirip dengan janji Parti Keadilan Rakyat di Selangor sebelum ini,  bagaimanapun rata-rata ditolak penduduk Johor yang diwawancara oleh Antarapos.
 
Mereka sebaliknya menzahirkan kemarahan terhadap tindakan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaludin mengkritik Istana Johor baru-baru ini. Nizar adalah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS.  
 
Dalam ucapannya malam tadi, Sallehuddin memberitahu penyokong parti itu bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor bebas daripada rasuah dan menjanjikan pentadbiran sama di Johor.
 
 "Setakat malam ini saya pun tidak boleh cakap besar, sebab kami pun manusia..kami bukan malaikat Jibril..esok mungkin buat salah. Jadi...kenapa tidak berikan peluang kepada kami ambil alih Putrajaya dan ambil alih Nusajaya," kata beliau.
 
Dalam pada itu, Sallehuddin memberitahu akhbar The Star bahawa isu antara Nizar dan Istana Johor bukanlah perkara yang besar.
 
"Saya cakap dengan penuh ikhlas. Perkara ini bukan isu besar. Rakyat adalah matang dan boleh membuat penilaian sendiri," kata beliau.
   
Isu itu tercetus apabila Nizar mempersoalkan tindakan Sultan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membayar RM500,000  kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan nombor plet kereta WWW 1. 
 
Sultan Ibrahim menjelaskan beliau tidak mengambil walau sesen daripada kerajaan dan selama ini menderma kepada dua yayasan negeri untuk membiayai aktiviti kebajikan mereka. 
 
Pada satu perhimpunan minggu lalu, lebih 30,000 rakyat Johor berkumpul di perkarangan Istana Pasir Pelangi untuk menzahirkan sokongan terhadap Sultan Ibrahim.    

Ruangan Komen