ISTIMEWA



 Nasional   

Khalid guna formula Anwar tangani isu Faekah

pada 19-06-2012 07:06 

Post Pic

SHAH ALAM: Perang di antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat semakin membara apabila Menteri Besar Selangor itu secara sinis berkata beliau hanya mengguna pakai "formula" Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani desakan supaya Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dipecat.

Penyokong-penyokong Timbalan Presiden PKR yang juga orang kanan Anwar, Azmin Ali dilaporkan memulakan kempen mahukan Fakah dipecat daripada jawatannya itu kerana melampaui kuasa-kuasanya dan mencampuri urusan parti.
 
Anwar sendiri sebelum ini dilaporkan pernah mengutus bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali untuk menasihati Khalid supaya "melepaskan" Faekah. Usaha itu bagaimanapun gagal.  
 
Di sebalik kenyataan-kenyataan pemimpin PKR, termasuk Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin menegur Faekah,  Khalid mempertahankan Setiausaha Politiknya itu dan berkata beliau menggunakan pendekatan Anwar sendiri dalam menghadapi sebarang kemelut.
 
"Macam hal saudara Anwar, berapa banyak kes-kes yang dia lalui. Jawapan dia ialah pedulikan mereka (dan) berusaha untuk mencapai matlamat objektif utama. Jadi saya pun ikutlah dia. Pedulikan mereka dan berusaha untuk mencapai matlamat kita," kata Khalid.

Faekah adalah setiausaha politik Khalid yang dilantik secara kontroversial. Beliau dilihat terlampau berkuasa dan sering kali bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan mendahului Khalid.
 
Beberapa Ahli Parlimen dan ADUN PKR merungut mereka "dicantas" oleh Faekah setelah mengadu kepada ibu pejabat parti bahawa Khalid tidak membawa sebarang pembangunan di kawasan mereka.
 
Ahli Parlimen Kapar yang juga Pengerusi Biro Aduan PKR S Manikavasagam berkata pihaknya menerima banyak aduan terhadap rekod Khalid kerana tidak menyelesaikan masalah akar umbi.      

Khalid berkata tuduhan bahawa Faekah  "lebih menyerlah" daripada beliau hanya bermakna pegawainya itu "telah menjalankan tugasnya dengan baik."
 
 Sehubungan itu Khalid berkata, beliau tidak akan mempedulikan desakan itu dan akan terus fokus kepada urusan pentadbiran negeri.

"Politik merupakan suatu permainan yang dinamik tapi ada juga yang banyak kenyataan itu adalah kenyataan spekulasi. Jadi kita tidak mengambil usaha itu sebagai usaha yang penting," katanya.
 
Khalid kini hanya berpaut kepada jawatan Menteri Besar setelah kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Selangor diambil alih oleh Azmin pada tahun 2010.
 
Sejak itu "permusuhan" mereka menjadi lebih buruk dengan  Faekah sendiri mempertikaikan keputusan Majlis Pimpinan PKR melantik Azmin sebagai Pengarah Pilihanraya PKR.
 
Zuraida sebelum ini berkata Faekah celupar dan harus ingat kepada jasa PKR yang membolehkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Khalid.

 


Ruangan Komen