Array


 Komentar   

Apa beza maksud PAS dan Mahathir mahu jadi Penasihat Kerajaan?

pada 02-06-2017 06:06 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Tidak pasti siapa yang mendahului siapa dalam isu mahu menjadi penasihat kerajaan – Tun Dr Mahathir Mohamad atau PAS? Namun yang pasti kedua-dua pihak cuba membayangkan mereka tidak teruja oleh daya tarikan kuasa sebaliknya tuntas mahu menyumbang idea untuk negara.
 
PAS sebelum ini pernah menyatakan kesediaan melebarkan aktiviti politiknya untuk menjadi ‘penasihat’ kerajaan sekalipun tidak berjaya mengambil alih kerajaan. Bagi PAS ini termasuk dalam lingkaran aktiviti dakwah untuk menasihati pihak berkuasa.
 
Sementara Mahathir pula menyatakan kelmarin beliau tidak lagi berminat untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional.
 
“Tetapi pada ketika ini, saya tidak setuju untuk menjadi perdana menteri. Saya sudah menyatakan selepas saya bersara tidak akan lagi menjadi perdana menteri,” katanya dalam siaran langsung kali kedua di akaun Facebooknya.

Apabila ditanya apa peranan yang mahu beliau mainkan jika pembangkang mengambil alih Putrajaya, Dr Mahathir berkata beliau bersedia bertindak sebagai penasihat kepada perdana menteri baru.

“Saya berpendapat di waktu saya meletak jawatan (sebagai Perdana Menteri) pun, sekurang-kurangnya pandangan saya dirujuk oleh parti memerintah terhadap beberapa isu atau masalah dihadapi kerana saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Saya mempunyai pengalaman dan maklumat yang mungkin berguna.

“Itu sebabnya jika ada kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke 14, saya berharap diberi peluang untuk memberikan pendapat saya. Jika ada perkara yang perlu dibincangkan, saya bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi,” katanya.
 
Dr Mahathir berkata, ketika menjadi perdana menteri, beliau mewujudkan pelbagai jawatankuasa terdiri pakar-pakar untuk mencari penyelesaian terhadap apa-apa masalah.
 
Beliau memberi contoh kawalan mata wang yang dikuatkuasakan oleh pentadbirannya ketika krisis kewangan negara adalah antara pelbagai penyelesaian yang hasilkan oleh pendekatan demikian.
 
“Inilah cara saya. Saya berharap perdana menteri baru akan menggunakan cara ini dan saya bersedia untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa itu,” katanya ketika ditanya apakah langkah pertamanya untuk membantu ekonomi dan masyarakat jika dilantik sebagai penasihat.
 
 
Cita-cita PAS itu dijadikan bahan sindiran di kalangan parti-parti politik pembangkang lain terutama PKR dan Amanah yang mempertikaikan hasrat PAS itu. 
 
Malah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution secara terbuka mengkritik ‘rangka kerja politik’ PAS itu. Katanya, penyertaan politik kepartaian ialah untuk menang memerintah dan bukan menjadi penasihat.
 
Sementara ramai barisan kepimpinan Amanah yang kebanyakannya adalah bekas pemimpin PAS mengingatkan rakyat pemikiran politik PAS yang “kurang logik dan realistik” itu sebagai di antara pendorong mereka meninggalkan parti itu.
 
Tun M mahu jadi penasihat PM, PAS mahu jadi penasihat kerajaan 
 
Cuma yang membezakan aspirasi PAS dan Mahathir ini ialah soal bila dan bagaimana mereka mahu menjadi penasihat. Syarat Mahathir ialah, beliau mahu menjadi penasihat perdana menteri kerajaan PH. 
 
Tumpuannya ialah pemusatan kuasa. Beliau mahu kuasa di tangan PH dahulu. Kemudian baru beliau bersedia untuk menjadi penasihat perdana menteri.
 
Sementara PAS pula boleh ditelah sebagai bersedia menasihati kerajaan pada umumnya yang tidak semesti berpaksi perdana menteri. Yang boleh dijangka ialah isu-isu yang menjadi minat PAS umumnya membabitkan persoalan agama dan pembangunan Islam.
 
Mungkin Mahathir teruja dengan inisiatif mendiang perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang dilantik menjadi ‘menteri-mentor’ untuk perdana menteri republik itu. Mendiang mampu menyumbang pada pembangunan Singapura meskipun sudah bersara. 
 
Pada asasnya mengenali ruang di mana sumbangan positif boleh dilakukan untuk negara memang baik. PAS menyebut peranan penasihat kerajaan sebagai melakarkan mesej betapa ia ‘tidak gila kuasa’.
 
Bagaimanapun dalam siaran Facebook yang sama Mahathir masih menyelitkan ‘harapan’ bahawa jika tiada pilihan, beliau masih bersedia untuk melaksanakan tugas perdana menteri. 
 
Katanya, walaupun buat masa ini beliau tiada niat untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang namun ‘mungkin terpaksa’ menimbangnya semula jika diminta oleh Pakatan Harapan.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, setelah bersara beliau tidak lagi berminat memegang jawatan berkenaan.
 
“Namun saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam Pakatan Harapan. Jika mereka ada cadangan itu dan ia dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangnya,” katanya.
 
Tun M perguna peluang
 
Demikian memang cara Mahathir. Beliau tidak akan menutup sebarang pintu politik kerana setiap peluang dan kesempatan politik itu mungkin dipergunakan apabila tiba masanya.
 
Mungkin maksud kenyataannya itu ialah untuk memberi ‘harapan’ bahawa PH bolehlah menimbang untuk mengumumkan nama beliau diletakkan sebagai bakal perdana menteri kerajaan PH dalam manifesto pakatan itu.
 
Sekali gus ‘strategi’ ini memberi jawapan tidak langsung kepada persoalan mengapa beliau tidak menjunjung poster di Kongres Kebangsaan PKR bulan lalu yang menyatakan mahu Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih PH menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Dalam perkataan lain, Mahathir mungkin masih tekal dengan pendiriannya sejak 1998 bahawa kerana ‘sebab-sebab moral yang jelas’, beliau tidak akan membiarkan Anwar untuk menjadi perdana menteri. 
 
Satu dimensi yang wajar difikirkan jika demikian maksud Mahathir, adakah isyarat yang Mahathir mahu lontarkan ialah beliau sanggup jadi penasihat walaupun perdana menteri PH kelak ialah Anwar Ibrahim sendiri?
 
PKR dan Anwar Ibrahim perlu meneliti apakah keberangkaliannya jika nama Mahathir benar-benar dilambung oleh PH sebagai bakal perdana menteri. Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa pun nampak lebih berminat pada Mahathir dan bukan Anwar.
 


Tags : PAS Mahathir Penasihat Kerajaan


Ruangan Komen