ISTIMEWA



 Nasional   

Khalid gagal perjelas cara hadapi krisis air

pada 12-06-2012 08:06 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal memberikan sebarang butiran mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mendirikan sebuah loji rawatan air sebagai ganti kepada loji Langat 2 yang dibina oleh kerajaan persekutuan.

Beliau sebaliknya hanya menjelaskan pendekatan yang diambil kerajaan negeri untuk tetap mengguna-pakai Model Holistik bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri tersebut.

Beliau berkata, penggunaan model tersebut adalah selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digariskan Kerajaan Persekututan.

"Sebagai Menteri Besar, saya telah buat keputusan sejak 2008 tak akan setuju dengan peningkatan tarif. Sebabnya, keputusan saya ini selari dengan Undang-Undang Malaysia iaitu Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya.  

Khalid juga menyatakan beberapa usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan penghasilan air, antaranya cadangan penggunaan teknologi baru yang dikenali sebagai Teknologi Membran.

"Forum ini berpendapat usaha untuk meneruskan penyusunan semula air mesti dilakukan dan beberapa usaha untuk mencari penawaran air atau pilihan untuk mencari punca-punca air termasuk air tanah.

"Juga usaha mengurangkan peratus Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water) serta melihat teknologi baru untuk meningkatkan produktiviti treatment plant (loji pembersihan air) yang gunakan Teknologi Membran yang akan banyakkan lagi penawaran air terawat untuk Selangor.

"Dengan itu kekurangan air terawat dapat diatasi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Air Selangor 2012.       

Pada bulan lalu, Khalid berjanji menyalurkan maklumat mengenai cadangan beliau memperkenalkan teknologi loji rawatan mudah alih (Portable Treatment Plant) untuk meningkatkan kapisiti memproses air mentah.

Khalid meuar-uarkan teknologi itu sebagai usaha Kerajaan Selangor dalam memastikan Selangor mendapat bekalan air yang mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Bagaimanapun pada forum hari ini, Menteri Besar itu gagal untuk memberikan maklumat bila dan di mana loji berkenaan akan didirikan untuk memastikan Selangor tidak mengalami krisis air pada tahun 2014.
 
Khalid juga tidak memperincikan kos dan tempoh yang akan diambil untuk mendirikan projek berkenaan.


Ruangan Komen