Array


 Komentar   

PKR, PPBM dan Amanah bidak hegemoni Amerika Syarikat?

pada 13-06-2017 08:06 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Rupa-rupanya, parti-parti politik pembangkang yang berteraskan Melayu-Islam terlalu menghormati kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat sehingga sedikitpun tidak “berdetik” dalam dua isu yang melanda umat sejak beberapa hari lalu.
 
Pertama isu Jubli Jerusalem yang dirancang untuk disambut selama tiga hari di Melaka dan keduanya ialah soal bagaimana Qatar sebuah negara Islam berdaulat sedang dibuli oleh Amerika Syarikat dan konco-konconya di Timur Tengah. 
 
Dalam kes Jubli Jerusalem mungkin baik PKR, PPBM dan Amanah bolehlah memberi alasan bahawa tidak perlu mereka menyatakan pendirian menolak bumi Malaysia dijadikan oleh puak-puak tertentu untuk meraikan 50 tahun pembantaian Israel terhadap Palestin. 
 
Ini kerana inisiatif kerajaan Umno-BN, yang senada dengan PAS serta 34 Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain sudah cukup untuk menangani cabaran pihak tertentu mahu menjadikan Malaysia salah sebuah negara Golden Gate demi menjadikannya pusat kebangkitan bangsa Yahudi.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas mengumumkan bahawa tiada sebarang permit akan dikeluarkan untuk tujuan sambutan dari 15 hingga 18 Jun itu sebaik sahaja iklan berhubung sambutan itu disiarkan. Selesai.
 
Tak ambil berat soal maruah persahabatan Malaysia-Palestin
 
Bagaimanapun dalam kes itu amat jelas, ketiga-tiga parti Melayu-Islam tidak mengambil berat soal penayangan simbol keangkuhan Yahudi di Malaysia. Soal maruah persahabatan sesama negara dan umat Islam Malaysia-Palestin tiada nilai pada perkiraan mereka.
 
Pembabitan pihak Kristian dalam penganjuran sambutan berkenaan mungkin puncanya. Jika PKR atau PPBM atau Amanah membuat bising, mungkin itu akan menyinggung penyokong Kristian pada parti masing-masing. Mujur Umno-BN serta PAS bertindak cepat. 
 
Bagaimanapun yang menyedihkan ialah dalam isu Qatar yang dipulaukan oleh beberapa negara Islam-Arab kerana dituduh “melindungi dan membiayai” kegiatan pengganas antarabangsa.
 
Hubungan diplomatik dan perdagangan diputuskan serta-merta. Yang jelas tindakan pembuli-pembuli berkenaan “diarahkan” oleh Amerika Syarikat. 
 
Presiden Donald Trump memilih Qatar dikenakan tindakan demikian kerana “keberatan” mengongkosi pangkalan tenteranya di beberapa negara Arab termasuk Qatar. 
 
Lebih utama lagi ialah, Amerika tidak menyorokkan matlamatnya untuk mencorak semula imbangan kuasanya dan anak emasnya, Israel, dengan negara-negara jiran Arabnya. Langkah pemula ialah mahu menjadikan Baitul Maqdis ibu negara Israel.
 
Trump mahu melakar semula siapa musuh di peringkat antarabangsa. Dengan perisytiharan bahawa Qatar ialah pelindung gerakan pengganas antarabangsa seperti Hamas dan juga Ikhwanul Muslimin, Amerika mahu memadamkan perhatian dunia daripada gerakan seperti Daesh dan Isil. 
 
Memang Amerika melalui bekas Setiauasaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, tular di media sosial mengakui bahawa baik Taliban, Daesh dan Isil ialah ciptaan dan tajaan kerajaan Amerika untuk mengimbangi pengaruh Russia.
 
Bagaimanapun kini gerakan-gerakan pengganas sudah berkembang biak serta berupaya membiayai dan menyusun atur tindakan mereka dan kini menjadi ancaman terbesar pada keamanan dunia. 
 
Trump mahu melupakan gerakan-gerakan zalim itu dan mengikis sebarang pembabitan Amerika dengan penubuhannya dengan memperkenalkan anasir baru yang boleh menjadi musuh kemanusiaan – Qatar, Hamas dan Ikhwanul Muslimin. 
 
Tetap menikus isu boikot Qatar 
 
PKR, PPBM dan Amanah tidak mahu kehilangan kepercayaan Amerika Syarikat yang kini banyak membantu usaha mereka menjatuhkan kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak. 
 
Banyak maklumat dan gerak politik ke arah itu berpunca daripada badan-badan rasmi Amerika Syarikat seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ). Aparatus parti seperti INVOKE Malaysia mendapat latihan perancang politik Amerika Syarikat. 
 
Justeru apabila isu pemboikotan dan fitnah terhadap Qatar bermula 5 Jun lalu ketiga-tiga parti Melayu-Islam itu bungkam. Mereka menikus dan berharap isu itu boleh berlalu begitu sahaja meskipun mereka tahu bahawa Qatar amat memerlukan sokongan umat. 
 
Sekali lagi, ketiga—tiga parti itu takut kehilangan sokongan pengundi bukan Islam yang amat fobia dengan permainan isu Islam sebagai agama pengganas. Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad, dan Mohamad Sabu tidak mahu terlepas sokongan bukan Melayu seraya bimbang tidak mendapat restu Amerika Syarikat. 
 
Paling sedih, menjelang Pilihanraya Umum 2013 dahulu, Anwar bersandarkan kepada “Ketua Pengganas” baru Sheikh Yusuf Al Qardawi untuk menyokongnya menjadi perdana menteri jika pembangkang menang melalui surat sokongan dalam teks Arab dan Melayu.
 
Nama Dr Yusuf Qardawi juga dilambung sekali lagi untuk menguatkan hujah menghentam presiden PAS yang menyertai persidangan antara mazhab di Iran awal tahun ini. Tujuannya untuk menyatakan betapa Ketua Kesatuan Ulama Islam sedunia kecewa dengan pendirian Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang itu. 
 
Walhal sebagai pemimpin bertanggungjawab, Haji Hadi perlu menyuarakan pandangan Ahlussunah wal jamaah berhubung isu mazhab. Yang paling kuat mengocakkan isu berkenaan ialah mufti Perlis, Datuk Sr Zainul Abidin.
 
PKR, Amanah, PBB memang tidak gemar pada Hadi dan PAS, maka tidak sedikit pun mereka berasa kekok untuk mencanai pendirian Yusuf alQardawi untuk menghentam Hadi. Jika ini bukan hipokrasi, apakah dia?
 
PKR, PPBM dan Amanah bukan kerajaan Malaysia. Mereka tidak perlu bimbang sikap tegas dan lantang terhadap kezaliman dan ketidak adilan antarabangsa akan menjejaskan mana-mana hubungan diplomatic dan perdagangan.
 
Kepentingan mereka terhadap Amerika Syarikat ialah politik. Pengaruh politik Trump adalah dambaan mereka untuk memenuhi nafsu mahu memerintah Malaysia. Selamatkan Islam dan Melayu jika mereka memerintah? 


Tags : PKR PPBM Amanah Amerika Syarikat


Ruangan Komen