ISTIMEWA



 Nasional   

KDN perlu jelaskan isu Scorpene, kata MP

pada 13-06-2012 12:06 Ditulis Oleh Ahmad Aidil Syukri

Post Pic

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk tampil menjelaskan kepada umum bersabit dakwaan penjualan dokumen sulit urusniaga kapal selam Scorpene yang menurut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebagai "tidak serius".

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata jawapan segera harus dikemukakan untuk mengelakkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus dipalitkan dengan tuduhan salah guna kuasa ketika memegang jawatan Menteri Pertahanan ketika itu.

Razali menambah sekiranya penjelasanan ditangguhkan lebih lama maka ianya akan membuka ruang kepada pakatan pembangkang untuk memanipulasi maklumat-maklumat tersebut.

"Saya rasa isu ini perlu diselesaikan. Kita tahu ada banyak perkara yang sengaja ditimbulkan ada banyak perkara yg mengelirukan ada beberapa perkara yang menjadi persoalan.

 "Jawapan perlu diberi oleh pihak kementerian, sengaja mengaitkn Najib pada saya mudah kerana ketua kumpulan mereka juga bergelumang dengan berbagai isu dan masalah," kata beliau kepada AntaraPos.com.

Speaker Dewan Rakyat semalam menolak usul tergempar oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar supaya Kementerian Pertahanan menjawab dakwaan penjualan dokumen rahsia Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Usul yang difailkan ekoran siasatan oleh mahkamah Perancis dalam dakwaan rasuah berhubung penjualan dua kapal selam Scorpene oleh syarikat DCNS.

Peguam Perancis, Joseph Breham yang mewakili Suaram sebelum ini mendakwa DCNS membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".

Menurutnya, hakim siasatan Perancis yang menyiasat kes tersebut ingin tahu tujuan sebenar bayaran itu dilakukan kepada Terasasi yang dimiliki ayah kepada Abdul Razak Baginda.

Razali kemudian menyifatkan maklumat yang tidak lengkap akan dimanipulasi oleh pakatan pembangkang untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Justeru katanya kerajaan layak mempertahankan kedudukan selain membuktikan bahawa kepimpinan Najib bersikap telus dalam peranan mentadbir negara.

"Pada saya tiada perkara yang boleh kita selindung dalam era teknologi maklumat dan kegagalan untuk membuktikan, tidak bermakna kita baik, begitu juga kalau kita tak buat, penjelasan perlu diberi.

" Jadi saya percaya apa yang berlaku dalam kes ini perlukan penjelasan dan ia akan juga akhirnya nanti menunjukkan siapa yang benar dan tidak," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan kerajaan harus mengemukakan kemahuan politik untuk membekalkan maklumat yang sahih kepada rakyat.

Katanya dalam isu yang melibatkan reputasi pentadbiran Najib yang menjadi buah mulut antarabangsa, kerajaan sekurang-kurangnya mengambil inisiatif menjemput wakil dari Perancis datang ke negara ini untuk mengemukakan maklumat sah sekaligus menangkis sebarang tomahan luar.

"Saya menganggap bahawa isu Scorpone belum selesai dan kerajaan seharusnya amat terbuka dan menjemput pegawai-pegawai Perancis untuk datang dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk menyelesaikan perkara ini," kata beliau.

Anifah dalam sebuah kenyataan berkata negara tidak perlu menumpukan perhatian terhadap dakwaan kes rasuah Scorpene yang sedang berlangsung di mahkamah Perancis.

Ini kerana menurut beliau maklumat yang diterima masih dipertikaikan kesahihannya.

Menangkis pendirian itu Kamaruddin berkata menteri harus mengambil serius perkara tersebut kerana ianya melibatkan sejumlah besar wang rakyat.

"Tuduhan berkaitan dengan Scorpone ini adalah suatu isu yang besar, ia bukan sahaja melibatkan perbelanjaan harta dan wang negara yang angkanya tinggi sekitar RM 7 bilion tetapi ianya melibatkan isu pertahanan negara."


Ruangan Komen