ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: PAS mahu calon Muslimat yang boleh menang

pada 13-06-2012 12:06 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu menerima senarai calon wanita yang ramai daripada sayap wanita parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
Bagaimanapun beliau menegaskan kesemua nama itu akan disenaraipendekkan sebelum dibawa kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
 
Jelas Tuan Ibrahim, PAS mahu calon wanita yang mampu memainkan peranan penting dalam kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada kemenangan parti.
 
"Secara keseluruhan saya lihat ada peningkatan jumlah calon daripada Dewan Muslimat PAS di beberapa buah negeri. Insya-Allah mereka akan disenaraipendekkan dan kemungkinan akan diturunkan sebagai calon.
 
"Sebahagian besar daripada calon yang ditawarkan mempunyai pengalaman dan berpendidikan tinggi selain mempunyai reputasi yang baik dengan masyarakat. Kita mahu letakkan calon wanita yang boleh menang dan berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan negara," katanya kepada AntaraPos.com.
 
Sebelum ini Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff berharap agar parti itu dapat meletakkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding pada PRU13 nanti.
 
Beliau bagaimanapun berkata sayap wanita PAS akan menyerahkan isu pencalonan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya.
 
"Memang kita harap untuk melihat lebih ramai calon wanita (untuk bertanding) tetapi kita percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menentukannya.
 
"Kita letakkan kepercayaan penuh kepada PAS Pusat untuk menentukan calon Muslimat yang layak. Insya-Allah lebih ramai calon Muslimat," katanya.
 
Difahamkan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menyerahkan lebih 30 nama calon wanita kepada pucuk pimpinan parti itu.
 
Kesemua nama itu disenaraikan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
 
Pada pilihan raya umum 2008, Dewan Muslimat PAS meletakkan 13 calon wanita iaitu lima di kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen.
 
Sayap wanita PAS itu memenangi kesemua kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen.
 
Kerusi DUN yang dimenangi adalah Jitra (Kedah), Merbau Pulas (Kedah), Selat Kelang (Selangor), Tanjong Mas dan Kijang di Kelantan.
 
Sementara kerusi Parlimen adalah Rantau Panjang (Kelantan), Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) dan Kota Raja (Selangor).

Ruangan Komen