ISTIMEWA



 Nasional   

Rafizi calon Pakatan di Parlimen Pandan

pada 13-06-2012 01:06 

Post Pic

KUALA LUMPUR:  Pakatan Rakyat meletakkan harapan bagi merampas kerusi BN bagi parlimen Pandan yang kini dipegang oleh bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat di bahu Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau diperkenalkan kepada penduduk semasa ceramah PKR di Taman Seraya, Pandan, malam semalam yang turut dihadiri oleh barisan pemimpin Pakatan Rakyat.

 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramahnya memuji Rafizi yang  disifatkannya sebagai antara individu yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan untuk dasar Pakatan, termasuk tawaran gaji minimum.

Selain Anwar, Rafizi juga dipuji melambung oleh pemimpin lain yang berucap, termasuk ADUN Teratai Janice Lee serta anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dari DAP.

Pua dalam ucapannya di program itu berkata, DAP tidak akan bertanding di kerusi Pandan kerana yakin dengan Rafizi yang disifatkannya sebagai individu yang bijak dan bertanggungjawab.

Sebelum ini, timbul, ura-ura bahawa Rafizi akan diletakkan di Kemaman, Terengganu.

"Tentulah keputusan akan dibuat di saat akhir... Tapi orang Pandan tahu saya sudah lama turun ke kawasan ini," katanya selepas majlis itu.

Beliau mengakui akan berdepan cabaran sengit di kerusi berkenaan, namun yakin Pakatan n mempunyai peluang cerah di kawasan kerusi campuran dengan 25 peratus golongan miskin bandar dan 50 peratus golongan pengundi muda itu.

"Saya rasa keputusan 2008 bukan disebabkan Ong Tee Keat tetapi kerana pengundi memilih berdasarkan kaum.

"Pengundi Cina sudah membuat keputusan bahawa pilihan raya kali ini akan menjadi referendum kepada BN.

"Ong Tee Keat mempunyai sokongan kuat tapi kita akan pecahkan undi masyarakat Cina," katanya lagi.

Beliau yakin, strategi kempen dengan menonjolkan jenama Pakatan itu akan membuahkan hasil untuk memecahkan blok pengundi berkenaan.

Selain Sabak Bernam, Pandan merupakan kawasan parlimen yang gagal dimenangi PKR dalam pilihan raya lalu di Selangor.


Ruangan Komen