ISTIMEWA



 Nasional   

Khalid diselar ekoran keengganan bina loji air

pada 13-06-2012 04:06 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor hari ini sekali lagi diselar ekoran keengganan kerajaan negeri meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2 sebaliknya mengambil pendekatan mengguna-pakai Model Holistik bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,  Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengenepikan hak rakyat semata-mata mahu menjaga kepentingan politik mereka.
 
"Air Ini, saya rasa MB tidak faham isu. Dia cakap soal air mentah, kita cakap soal air bersih. Bila kita sudah terangkan yang kurang adalah air bersih, kerana Selangor kekerangan air bersih. Maka ada 129 kilang yang patutnya mula tapi tidak dapat beroperasi, jadi nanti siapa yang rugi?
 
"Jadi sepatutnya kerajaan negeri perlu fikirkan tentang air bersih ini. Sebab itu kerajaan BN sudah nampak isu ini tetapi kerajaan negeri fikir untuk politikkan isu ini. Dia asyik fikir untuk berforum tapi apa keperluannya," katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.
 
Katanya, walaupun kerajaan PakatanRakyat itu bercadang untuk melakukan penstrukturan semula air namun sehingga kini kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar itu dilihat lebih gemar 'bercakap' berbanding bertindak.
 
Semalam, di Majlis Forum Air Selangor 2012 yang dianjurkan oleh kerajaan negeri gagal memberikan sebarang butiran mengenai hasrat untuk mendirikan sebuah loji rawatan air sebagai ganti kepada loji Langat 2 yang dibina oleh kerajaan persekutuan.
 
Khalid sebaliknya hanya menjelaskan pendekatan yang diambil kerajaan negeri untuk tetap mengguna-pakai Model Holistik bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri tersebut.
 
Selain itu, Khalid turut dilihat gagal untuk memberikan maklumat bila dan di mana loji berkenaan akan didirikan untuk memastikan Selangor tidak mengalami krisis air pada tahun 2014. 
 
Malah beliau juga tidak memperincikan kos dan tempoh yang akan diambil untuk mendirikan projek berkenaan.

Ruangan Komen