Array


 Komentar   

Anwar merajuk atau palu gendang perang?

pada 18-06-2017 02:06 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Kini giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencatur gerak untuk memuktamadkan isu siapa yang lebih layak ditonjolkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sekiranya ia menang pilihanraya umum ke-14 kelak.
 
Beliau nampaknya dengan sedar membuat kejutan dengan mengumumkan tidak lagi menawarkan dirinya untuk menjadi calon jawatan nombor satu itu.
 
Hujahnya demi mengelakkan PH hanyut dek dua "isu pinggiran (seperti) .... (pertama) muslihat perebutan kuasa dan (kedua) kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan" yang menurutnya tidak harus diizinkan.
 
"Terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri," kata Ketua Umum PKR itu. Merajuk? Tidak mungkin!
 
Maka taktik pertamanya ialah menyatakan bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad harus diberikan peranan sewajarnya di dalam PH. 
 
Namun kenyataan itu ada had lakunya. Dalam nafas yang sama Anwar dengan tegas menolak usul parti Mahathir, PPBM menguasai jawatan pengerusi dan presiden di dalam pakatan pembangkang itu.  
 
"Adapun usul Bersatu (PPBM) untuk merombak struktur Pakatan Harapan dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden dalam struktur baru PH, dikhuatiri akan merombak kerangka PH menjadikannya mirip BN. 
 
"(Justeru) kesediaan semua pihak dalam PH untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan," katanya.
 
Beliau menegaskan keperluan mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya di mana semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan Pengerusi hanya sebagai penyelaras.
 
Anwar berharap semua pemimpin komponen PH memberikan tumpuan sepenuh kepada persiapan menghadapi PRU 14 dan tidak lagi terjebak dalam polemik siapa harus ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri.
 
Polemik itu mencetuskan perbalahan di kalangan pemimpin-pemimpin PKR, PPBM dan DAP dan mendedahkan kerapuhan pakatan pembangkang itu sendiri.
 
"Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu pada pengukuhan jentera dan menarik dokongan rakyat," kata Anwar.
 
Anwar beri isyarat kepada penyokong 
 
Anwar memang yakin pada kedaulatan, iltizam dan sokongan rakyat. Hanya itu azimatnya bangkit menentang ‘kezaliman’ Mahathir sejak mereka “berpatah arang berkerat rotan” sejak 1998 lalu.
 
Bagi yang mengenali Anwar dan caragaya politik Mahathir pula pasti meneliti kenyataan Anwar ini sebagai permulaan pusingan baru dalam isu. 
 
Tidak berlebihan jika ada yang membaca sebenarnya Anwar bukanlah menarik diri tetapi melemparkan isyarat supaya penyokongnya dalam isu ini bangkit menggerakkan langkah lebih teguh, kukuh dan teratur untuk mencapai hasrat asalnya. 
 
Dalam pusingan sebelum ini Dr Mahathir benar-benar memerangkap penyokong Anwar yang “agak leka dan agak bercempera dalam isu ini”. 
 
Tanpa diundang oleh mana-mana pihak Mahathir sendiri yang “menawarkan” dirinya untuk menjadi calon perdana menteri “jika ada permintaan daripada kawan-kawan” dalam PH.
 
Mahathir pasti beliau ada penyokong. Maka bersuaralah ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dan beberapa lain yang memang “ada sejarah kurang enak” dengan Anwar menyokong usul yang dilontarkan sendiri oleh Mahathir itu.
 
Penyokong Anwar pada mulanya mahu “menguja dan mengingatkan” PH bahawa kali terakhir mereka membincangkan isu bakal perdana menteri, calon bersama mereka ialah Anwar.
 
Maka pada hujung kongres PKR lalu, mereka cuba “memerangkap” Mahathir supaya mematikan sebarang angan untuk ‘tidak mahu’ Anwar jadi calon Perdana Menteri dengan menjunjung poster “Anwar PM ke-7”.
 
Jurus tangkis Mahathir terhadap cabaran ini ialah menggunakan media sosial untuk melancarkan “hasrat dan kesediaannya” menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
 
Pengumuman Anwar ini wajarlah dibaca oleh penyokongnya sebagai peringatan bahawa: “adakah kalian sudah melupai saya?” 
 
Spontan persoalan ghaib yang menyusul ialah” “kita dalam keadaan begini kerana orang ini (Mahathir). Jika kalian mahu bertuankannya sekali lagi, inilah masanya. Saya tarik diri”
 
Pengumuman Anwar semboyan perang
 
Anwar insaf penyokongnya leka. Beliau maklum kepemimpinan parti terasnya, PKR, kini lemah. Soal ketrampilan presiden yang ‘tidak seberapa’ dan hasrat besar timbalannya mahu menjadi kepala, bukan rahsia. 
 
Pengumuman tarik diri Anwar ini ialah semboyan dan gendang perang. Kepada kepimpinan PKR dan penyokong lain Anwar ingin bertanya:
 
“Apakah kalian masih setia, bertenaga dan ada roh perjuangan? Langkah mutakhir Mahathir mempamerkan kelicikan politiknya. Bersediakah kalian menghadapinya?”
 
Anwar fokus: “Jika kalian tidak mahu saya larut dari ingatan, bersatulah.” Anwar sedar bahawa ada di kalangan panglima-panglima perangnya sudah mula “berjinak” dengan Mahathir atau Muhyiddin dan ada dikhabarkan dengan pemimpin Umno. 
 
Anwar juga melengkapkan mesejnya dengan soal adab. Elak caci maki dan kata kurang sopan. Perjuangan kali ini suci dan tidak harus dicemari kebiadaban apatah lagi sasaran kali ini ialah untuk memujuk sokongan rakan -- PKR, Amanah dan DAP.
 
Jika Anwar tiada dalam senarai bakal Perdana Menteri, adakah ini bermakna beliau mahu Mahathir calon mutlak? Jika demikian apakah misi perjuangan PKR untuk melakukan reformasi pengurusan negara sudah tamat? 
 
Ketika memberi reaksi pada kesediaan Mahathir menyertai perjuangan PH, Anwar pernah menyatakan keraguannya sama ada matlamat Mahathir mahu mengisi cita-cita peribadi atau benar-benar mahu melakukan reformasi. 
 
Benarkah Mahathir benar-benar mahu melakukan reformasi pelbagai perundangan, pentadbiran dan amalan yang sudah diterapkannya sendiri sejak lebih 22 tahun? 
 
Jika beliau masih berkuasa, apakah kezaliman seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah dibakulsampahkan atau terus menjadi peranti mengekalkan kuasanya?
 
Sudah pasti Mahathir mampu membaca taktik Anwar. Sudah tentu juga beliau sudah siap melakar pelbagai pelan tindak balas. Bersedialah Perang Dunia Ketiga baru hendak bermula. 
 


Tags : Anwar gendang perang


Ruangan Komen