ISTIMEWA



 Nasional   

Usah pertikai komitmen pegawai kerajaan - Ismail

pada 14-06-2012 10:06 Ditulis Oleh Ahmad Aidil Syukri

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamad Said menegaskan setiap pegawai tinggi kerajaan telah menandatangani aku janji dan taat setia kepada kerajaan yang memerintah.

Untuk itu katanya, setiap pegawai yang dilantik bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas mengikut arahan yang diperuntukkan pemimpin kerajaan sedia ada.

Beliau diminta mengulas laporan portal Malaysiakini yang memetik kenyataan bekas Ketua Pegawai Kanan Polis Datuk Mat Zain Ibrahim mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan maklumat sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu menjadi Timbalan Perdana Menteri 15 tahun dahulu.

Katanya, tidak mustahil bagi Abdul Gani yang bertindak sebagai pendakwaraya membantu Anwar mendapatkan dokumen sulit kerajaan.

“Mana-mana pegawai tinggi kerajaan ada aku janji atau taat setia adalah pada kerajaan yang memerintah. Jadi dalam general order mereka melaksanakan tugas dan menjawab mengikut dasar kerajaan sedia ada.

“Jadi kerajaan persekutuan (ketika ini) adalah Barisan Nasional. Dan kita tak terperanjat ketika (Datuk Seri) Anwar jadi Perdana Menteri, berbagai dakwaan menggunakan pegawai tinggi kerajaan bagi kepentingan peribadi,” kata beliau kepada AntaraPos.com.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataannya semalam menjelaskan pendedahan yang dibuat Mat Zin merupakan pendedahan beliau tentang kertas siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang ditandatangani oleh Gani di dalam beberapa kes rasuah yang melibatkan pemimpin negara ketika itu.

Namun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu telah menghalang sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

“Ini bersabit dengan pendedahan saya lama dulu tentang kertas siasatan BPR dan kertas pendakwaan, bukan kertas siasatan, yang ditandatangni oleh Gani untuk mendakwa termasuk kes (Tan Sri) Rahim (Tamby Chik) dalam isu rasuah.

“Tapi pada masa itu Tun M melarang dan menghalang dari tindakan diambil maka perkara itu difailkan. Beberapa tahun kemudian di Parlimen kes diberitahu selesai,” katanya.


Ruangan Komen