Array


 Nasional   

Sulaiman Mahbob dilantik Pemangku Pengerusi FGV

pada 19-06-2017 04:06 

Post Pic

 
PUTRAJAYA: Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), menggantikan Tan Sri Isa Samad yang meletakkan jawatan hari ini.
 
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.   
 
Pelantikan Dr Sulaiman itu merupakan salah satu daripada empat penemuan yang digariskan dalam laporan bebas yang diketuai Datuk Seri Idris Jala mengenai krisis FGV. 
 
Laporan berkenaan merujuk kepada tindakan Lembaga Pengarah FGV yang menggantung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar. 
 
Berikut empat penemuan utama yang digariskan: 
 
1. Terdapat fakta yang mencukupi dan alasan munasabah yang bagi Lembaga Pengarah FGV memulakan prosiding disiplin terhadap CEO, CFO dan dua pengurusan tertinggi berhubung dakwaan pelanggaran prosedur dalam Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), FGV perlu teruskan prosiding berkenaan. FGV perlu meneruskan prosiding berkenaan dan perlu ditekankan bahawa tiada siapa yang melakukan apa-apa salah laku pada masa ini melainkan dibuktikan melalui siasatan dalaman. Semasa siasatan dalaman itu, empat pegawai pengurusan berkenaan boleh membela diri mereka sejajar dengan undang-undang keadilan asasi 
 
2. FGV dicadangkan untuk menubuhkan pasukan "governance quantum leap" bagi memperbaiki tadbir urus dan kawalan perniagaan di peringkat kumpulan dan subsidiari. Berbanding membuat penambahbaikan tambahan, FGV dengan bantuan pasukan ini contohnya perlu mengenal pasti amalan terbaik, polisi dan prosedur di dalam dan luar industri dan diguna pakai di FGV. 
 
3. Kemerosotan prestasi kewangan FGV dan FELDA beberapa tahun ini memerlukan kajian perniagaan menyeluruh, perlu diselesaikan segera. 
 
4. Bagi menegakkan integriti, semangat kesaksamaan bagi siasatan yang sedang berjalan dan tadbir urus korporat FGV dan DOP yang betul, kerajaan memutuskan melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV. 
 
Pejabat Perdana Menteri turut menjelaskan, laporan bebas dan keputusan yang dibuat kerajaan serta FGV tiada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat itu. 
 
Kenyataan itu juga menyebut, siasatan SPRM masih berjalan dan hasilnya akan didedahkan selepas tugas mereka selesai.
 


Tags : Sulaiman Mahbob Pemangku Pengerusi FGV


Ruangan Komen