Array


 Nasional   

Empat remaja didakwa bunuh T. Nhaveen

pada 19-06-2017 04:06 

Post Pic

 
 
PULAU PINANG: Empat remaja lelaki termasuk dua di bawah umur didakwa menyebabkan kematian T. Nhaveen, 18, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
 
J. Ragesuthen dan S. Gokulan masing-masing berusia 18 tahun serta dua lagi remaja berusia 16 dan 17 tahun dituduh menyebabkan kematian Nhaveen di Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor di sini kira-kira pukul 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun lalu.
 
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman mati mandatori.
 
Nhaveen disahkan meninggal dunia petang Khamis lalu, selepas enam hari bertarung nyawa akibat dipukul hingga koma.
 
Remaja berusia 18 tahun itu dipukul sekumpulan remaja  awal pagi Sabtu lepas, yang ketika itu baru selesai menjamu selera di gerai burger di Jalan Kaki Bukit bersama rakannya, T Previin, 19. 
 
Difahamkan, pergaduhan bermula selepas dua remaja lelaki bertindak mengusik Nhaveen, dan kemudian dipertahankan Previin.
 
Tidak berpuas hati, dua remaja berkenaan membuat panggilan telefon dan kemudian lebih ramai yang datang dengan menaiki motosikal. Mereka kemudian mula memukul Nhaveen dan Preevin dengan topi keledar.  
 
Bagaimanapun Previin yang turut dipukul, berjaya melarikan diri dan memberitahu keluarga mangsa.
 
Nhaveen yang ditemui tidak sedarkan diri, dihantar ke Hospital Pulau Pinang. 
 
Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan Nhaveen mengalami kecederaan parah di kepala, selain terdapat bukti kesan tembus pada duburnya dan juga kecederaan pada kemaluan serta kesan lecur di bahagian belakang badan. 
 


Tags : T. Nhaveen bunuh remaja


Ruangan Komen