ISTIMEWA



 Nasional   

Peguam: Apung aset tak selesai masalah Unisel

pada 14-06-2012 11:06 Ditulis Oleh Nur Atiqah Abd Samad

Post Pic

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan negeri yang mahu mengapungkan tanah milik Universiti Selangor (Unisel) demi menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar institut berkenaan bukan satu jalan penyelesaian,sebaliknya merumitkan keadaan.

Menurut ejen hartanah yang dihubungi Antarapos.com bagi mendapatkan penjelasan maksud proses apungan tanah, ini dapat dilakukan dengan kerjasama mana-mana syarikat untuk memajukan tanah berkenaan bagi mendapatkan hasil.

Ejen berkenaan berkata perjanjian akan dibuat di antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan dalam mendapatkan persetujuan bersama mengenai pembahagian hasil yang bakal diperoleh.

Namun cara yang akan dilakukan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim itu dibidas oleh Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menyifatkan cadangan itu tidak akan berjaya, malah akan menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.   

"Syarikat yang akan berkerjasama itu, yang mana syarikat berkenaan akan buat pinjaman bank untuk memajukan tanah ini. Duit yang diperoleh syarikat daripada pinjaman bank terpaksa disalurkan (Unisel) untuk dibiayai secara percuma.

"Jadi sebagai satu syarikat yang berlandaskan keuntungan bagaimana syarikat itu boleh membayar balik (pinjaman) jikakalau bukan dengan membuat pembangunan secara komersil," katanya.

Hafarizam berkata meskipun tanah itu dimajukan dengan projek pembangunan seperti membina kilang atau ruang pejabat, ia kemudian akan disewakan tetapi masih belum cukup untuk memperoleh keuntungan dan membayar pinjaman bank.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata sesebuah syarikat yang berorientasikan keuntungan tidak akan membuat pelaburan sekiranya pelaburan itu tidak memberikan pulangan sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada jumlah pelaburan.

"Sama ada 'non-bumi' mempunyai modal yang banyak berbanding syarikat bumiputera, adakah syarikat 'non-bumi' ini sanggup untuk mengambil bebanan yuran secara percuma di Unisel, melainkan syarikat itu mahu membuat tanggungjawab sosial korporat(CSR). Kalau begitu lebih elok syarikat itu memberi derma kepada Unisel."

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan tindakan jangka pendek dengan mengapungkan hartanah Unisel bagi mendapatkan wang RM30 juta bagi membantu membiayai mahasiswanya yang gagal memperolehi pinjaman PTPTN.

Aset itu merupakan hartanah seluas 200 hektar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang Talam Corporation yang dibuat oleh kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, pembekuan PTPTN itu ditarik balik pada 8 Jun berikutan rayuan daripada Unisel yang menjelaskan bahawa pihaknya tidak bercadang menawarkan pendidikan percuma.


Ruangan Komen