Array


 Nasional   

Isa letak jawatan secara rela hati, kata Najib

pada 19-06-2017 06:06 

Post Pic

 
 
 
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bersetuju melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) secara rela hati.
 
"Saya dapat sahkan saya sudah berunding dengan Isa Samad pagi tadi.
 
"Kita telah bincang dengan mendalam tentang masa depan FGV maka Isa dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai pengerusi FGV dan maknanya (beliau) diganti dengan (Tan Sri) Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi," kata Najib dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
 
Selain Najib dan Isa, mesyuarat itu juga turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang diberi tanggungjawab menyediakan laporan berhubung kemelut FGV.
 
"Bagi menghargai peranan Tan Sri Isa dalam FGV, kita setuju lantik beliau sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta merta," katanya.
 
Najib juga turut mengulas kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan yang lain yang sebelum ini digantung tugas mereka oleh Isa dengan arahan supaya 'bercuti' atas alasan melanggar peraturan tadbir urus korporat.
 
"Tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan melalui lembaga inkuiri," katanya sambil menambah lembaga pengarah FGV juga akan membuat keputusan yang mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV pada landasan lebih kukuh," jelas Najib.
 
Peletakan jawatan Isa itu menyusul selepas FGV berdepan kemelut yang menyaksikan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk Zakaria , diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta, dua minggu lalu.
 
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
 
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar. 
 
Sementara itu Bursa Malaysia menerusi satu kenyataannya hari ini berkata peletakan jawatan Isa itu sebagai 'berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya".
 
Isa dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV pada 1 Jan, 2011.
 
 
-ai-


Tags : Najib Isa Samad FGV FELDA


Ruangan Komen