ISTIMEWA



 Nasional   

PAS Kelantan tidak perlu bantuan BN, kata Husam

pada 07-07-2012 11:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

GOMBAK: Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS akan membuktikan parti itu mampu melaksanakan pembangunan tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, menambah Umno perlu belajar dari peristiwa Nabi Nuh AS, kata exconya Datuk Husam Musa.

Bercakap dalam Rapat Perdana Lebuh Raya Rakyat di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini malam tadi, Husam menegaskan kerajaan negeri Kelantan telah dianaktirikan sejak 1990 terutamanya dalam soal pembangunan.

Jelas beliau, ia termasuk pembinaan Lebuh Raya Kota Bahru-Kuala Krai bernilai RM1.8 bilion yang ditanggung kerajaan negeri dengan bantuan rakyat negeri itu.

"Nak membina keyakinan  diri inilah bahawa Kelantan boleh membebaskan diri daripada penganaktirian, diskriminasi, manipulasi, diketepikan dan diugut, kalau nak pembangunan mesti bersama Barisan Nasiona (BN).

"Kalau terus dengan PAS lebuh raya tidak ada, pelabuhan tidak ada, lapangan terbang antarabangsa tidak ada, kemudahan-kemudahan tidak ada. Saya selaku anggota kerajaan merasai penderaan itu sejak daripada 1990 baik dalam kata mahu pun tindakan kerajaan pusat khususnya dalam kes lebuh raya," kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Kelantan ini.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh diibaratkan seperti dalam peristiwa bahtera Nabi Nuh yang dihina dan diperlekeh apabila mahu membina sebuah kapal.

"Bagi Umno yang mengejek, mereka perlu ingat apa yang berlaku dalam kes bahtera Nabi Nuh, bila Nabi Nuh AS buat bahtera ramai yang skeptikal, yang negatif, yang pasif, yang tak percaya, yang perlekeh, yang menghina.

"Mereka kata Nabi Nuh bukan arkitek, apa lagi arkitek perkapalan. Macam mana nak buat kapal? Lepas itu buat kapal atas daratan, nak belayar ke mana? Dia buat kapal musim kemarau, buat apa kapal atas daratan musim kemarau? Banyak soalan-soalan itu dikemukakan dalam Facebook pada zaman Nabi Nuh AS," katanya.

Jelas beliau, daripada melayan semua kritikan itu kerajaan negeri Kelantan tetap dengan pendirian untuk meneruskan pembinaan Lebuh Raya Kota Bahru-Kuala Krai, sama seperti Nabi Nuh.

Tegas Husam, segala kritikan itu akan terhenti apabila pembinaan projek yang akan mengambil masa tiga tahun itu siap.

"Tapi kalau Nabi Nuh jawab satu-satu, sampai petang pun tak habis. Nabi Nuh mulakan tekad dia nak buat kapal, persoalan itu akan dijawab bila nanti kapal ini siap. Tak perlu jawab siang, kita jawab melalui tindakan bukan melalui orang yang panggil cakap-cakap kota.

"Bila kapal ini siap? Dia lagi tinggi semangat menghina umat Islam diperintah oleh dua parti untuk rakyat jelata buang air dalam kapal Nabi Nuh, sini semua kelentong sampai orang buta dipaksa naik kapal itu pergi buang air.

"Ditakdir Allah orang itu jatuh terkena Nabi Nuh, maka yang buta dapat melihat. Umno yang buta hati ini bila lebuh raya siap dan mereka lalu," katanya.

Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer, yang akan menelan kos RM1.8 bilion, yang tertangguh sejak 26 tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setelah lebih dua dekad pembinaannya ditangguhkan oleh Kerajaan Pusat, pihaknya mengambil keputusan membina sendiri jalan baru itu demi kemudahan rakyat.

Katanya, projek itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) dan ditangguhkan dari tahun ke tahun.

Lebuh raya yang berkonsepkan tanpa tol itu turut dilaksanakan secara wakaf di mana kos pembinaannya serta penyelenggarannya dibiayai sebahagiannya oleh dana hasil sumbangan derma dan wakaf rakyat serta syarikat swasta.


Ruangan Komen