ISTIMEWA



 Nasional   

PAS ghairah ke Putrajaya, tapi pinggir dakwah

pada 07-07-2012 12:07 

Post Pic

 

KOTA BHARU: Pemimpin dan ahli PAS ditegur kerana terlalu ghairah menawan Putrajaya sehinggakan agenda dakwah sebenar dalam masyarakat seperti dipinggirkan, demikian disuarakan Datuk Mohamed Daud.

Mohamed yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan menzahirkan rasa kesal dengan sikap kebanyakan pemimpin dan ahli PAS yang dilihat merancang untuk merampas kekuasaan negara semata-mata.

Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menegur sepatutnya orang PAS memenuhi masjid dan mengadakan lebih banyak program dakwah serta pendidikan.

Mohamed berkata lebih banyak masjid kini termasuk di Kelantan semakin suram tanpa agenda tarbiah sedangkan dalam sejarah Nabi Muhammad SAW telah meletakkan masjid sebagai pusat penting untuk menyuburkan agama.

“Kita sepatutnya menghidupkan masjid terlebih dahulu, kuasai masjid sebelum kita ghairah mahu berkuasa di Putrajaya.

“Kalau kita tinggalkan agenda masjid dan hanya fikir mahukan Putrajaya, jika kita kuasa kelak, orang jenis macam mana yang kita hendak lantik menjadi duta misalnya? Adakah orang yang tidak pernah bersolat di masjid?

“Saya sedih lihat keadaan banyak masjid sekarang sudah mati, di mana orang kita yang sepatutnya datang penuhkan masjid? Padahal kalau masjid sudah hidup barulah kita sebenarnya boleh perintah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri semalam.

Mohamed menambah, beliau amat berharap semua pihak sedar mengenai perkara ini dan melakukan tindakan segera.


Ruangan Komen