ISTIMEWA



 Nasional   

Dr M takut PR rampas harta anaknya, kata Anwar

pada 07-07-2012 01:07 Ditulis Oleh Ahmad Aidil Syukri

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Pentas Merdeka Rakyat di Selayang malam tadi digunakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghentam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di dalam ucapannya, Anwar memberikan respon terhadap kenyataan Mahathir yang menyindir pengumuman beliau untuk bersara dari politik sekiranya Pakatan Rakyat (PR) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.

“Dr Mahathir marah sangat kenapa? Saya tak kacau dia, sudahlah. Saya sudah maafkan yang kamu takut sangat ini kenapa?

“Rupanya dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia,” dakwa Anwar.

Anwar kemudian mendakwa pemecatan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada ketika dahulu ekoran keengganan beliau meluluskan wang berjumlah RM2 bilion kepada syarikat milik anaknya, Mirzan Mahathir yang akhirnya ditampung Petronas.

“Sekarang setelah untung dia beli syarikat arak San Miguel pada harga RM2900 juta. Pemimpin Umno beli syarikat arak mana dia ulama Umno? Diam sahaja boleh kah?

“Dan syarikat San Miguel ini sekarang sudah beli Esso Malaysia dan tukar nama kepada syarikat Petron. Syarikat ini punyai kontrak puluh ribu juta ringgit. Saya bukan nak benci atau nak lawan sebab dia kaya. Tapi tak adil untuk rakyat kita,” tegas beliau lagi.

Terdahulu Mahathir menyarankan Anwar supaya tidak berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik.

Menurutnya, kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik semata-mata dan akan terus mengejar impian menjadi Perdana Menteri walaupun Pakatan Rakyat kalah pada PRU13.

Beliau dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan Perdana Menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

"Kita buat dua jawatan perdana menteri, bagi dekat dia satu 'Honour Prime Minister' selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara," katanya.

Sementara itu, dalam ceramah yang sama Anwar sekali lagi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat.

Sambil membidas tindakan kerajaan Barisan Nasional yang tidak henti-henti menyerang pemimpin pembangkang menerusi media arus perdana, Anwar berkata beliau sedia berdebat samada isu ekonomi ataupun pengurusan kerajaan.

“Debat, bukan budaya Melayu (merujuk kepada kenyataan pemimpin-pemimpin Umno). Tunjuk punggung pada (Datuk) Ambiga (Pengerusi Bersih), Melayu ‘haprak’ apa punya budaya?” kata beliau lagi.


Ruangan Komen