Nasional
P'gubalan undang-undang mula di kementerian
pada 07-07-2012 08:07
Oleh Farah Eliana Adnand
KUALA LUMPUR: Proses penggubalan undang-undang yang baik perlu bermula di peringkat kementerian bagi memastikan draf undang-undang yang dikemukakan kepada Parlimen dapat menjaga kepentingan rakyat, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Menurutnya, pegawai kementerian khususnya penasihat undang-undang perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi agar dapat menghayati "spirit of law" dalam mencadangkan penggubalan undang-undang tersebut.
"Mereka perlu mempunyai pengetahuan terlebih dahulu.
"Kalau sekiranya tidak tahu, jadi apa yang sepatutnya berlaku, ia akan mengganggu tujuan itu," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Khas Penggubalan Undang-undang Negara di Parlimen di sini hari ini.
Abu Zahar berkata pegawai kementerian juga perlu memastikan draf undang-undang yang dihasilkan berpaksikan acuan bangsa Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Apa undang-undang yang kita lakukan, mesti lah mengikut acuan kita, masyarakat Malaysia. Hormati perlembagaan,” katanya.
Tambah Abu Zahar lagi, anggota Parlimen juga perlu menghayati proses penggubalan undang-undang khususnya ketika sesi debat undang-undang bagi memperkasakan Parlimen yang sebenar.
Malah mereka juga perlu bersikap lebih profesional dan rasional dalam menambah baik proses ini bagi menjaga keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Ruangan Komen