ISTIMEWA



 Nasional   

Pua akui Sgor terlebih bayar tapi masih untung

pada 07-07-2012 05:07 

Post Pic


KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengakui bahawa kerajaan negeri Selangor terlebih bayar RM41 juta bagi mengambil-alih sebidang tanah dari Talam Corporation Bhd semasa penyusunan semula hutang syarikat berkenaan pada 2010.

Namun di sebalik itu, Pua yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara berkata, pada masa yang sama, kerajaan negeri membayar pemaju itu kurang RM9.1 juta bagi mengambil alih 13 bidang tanah yang lain.

Sehubungan itu, katanya, Ketua Biro Profesional Muda MCA pusat Datuk Chua Tee Yong menggunakan statistik tertentu dengann tujuan mengelirukan rakyat. Tegasnya lagi, fakta berkenaan bertentangan dengan dakwaan MCA bahawa tindakan itu sebenarnya langkah bailout (penyelamatan).

"MCA patut berterima kasih kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim atas tindakan perniagaan yang bijak, bukan hanya mengkritik kerajaan Selangor.

“Apa yang penting, nilai keseluruhan semua 13 bidang tanah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi penyelesaian hutang Talam (adalah) adil," kata Pua, pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Pua, nilai RM9.1 juta itu adalah berdasarkan penilaian sebuah firma swasta yang mentaksirkan tanah itu pada nilai RM685 juta, berbanding taksiran kerajaan negeri pada RM676 juta.

Malah, kata beliau lagi, maklumat itu dimaklumkan dalam pekeliling Talam kepada pemegang sahamnya pada 15 Mac 2011.

Pekeliling itu juga boleh didapati di laman web Bursa Malaysia secara percuma.

Justeru, beliau secara sinis mencadangkan MCA membuat kajian mereka terlebih dahulu, sebelum membidas kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tanpa sebarang bukti.

Firma penilaian hartanah swasta yang digunakan oleh Talam adalah Mitra Valuers & Property Consultants Sdn Bhd.

Walaupun, menurut Pua, integriti penilaian itu boleh dicabar, namun kerajaan negeri membuat keputusan bersandarkan bantuan daripada Jabatan Penilaian dan Hartanah yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Isnin lalu, Chua mendakwa kerajaan negeri menyelamatkan Talam dengan menebus hutang syarikat itu yang berjumlah RM266 juta dengan menggunakan dana awam.

Apabila diasak wartawan, supaya menjawap dakwaan Chua bahawa kerajaan negeri Selangor terlebih membayar RM41 juta bagi 2,263.53 ekar (916ha) tanah di Bestari Jaya, yang ditaksirkan bernilai RM139.09 juta, Pua berkata "taksiran seseorang boleh jadi betul ataupun juga salah".

“Apabila membuat penyelesaian, ada yang terlebih bayar, ada juga yang terkurang bayar, tetapi keseluruhannya kita bayar kurang," dakwanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga ada menerima surat daripada seorang peguam yang mewakili ejen hartanah tahun lalu yang sanggup membeli tanah-tanah berkenaan pada harga lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh kerajaan negeri.

“Jangan peduli berapa yang Talam bayar, atau apa nilai yang diberi oleh kerajaan negeri, yang penting, apa nilai yang orang sanggup tawarkan.

“Pada penghujungnya, awak perlu tanya, kerajaan negeri untung atau rugi?"


Ruangan Komen