ISTIMEWA



 Nasional   

PAS berazam mahu tawan Melaka, kata Mat Sabu

pada 07-07-2012 06:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

GOMBAK: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata parti itu berhasrat untuk menawan Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Kata beliau, semangat bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor akan menjadi pemangkin untuk jentera parti terus berjuang menawan negeri pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) itu.

Mengimbas kembali peristiwa lalu, Mohamad yang mesra dengan panggilan "Mat Sabu" berkata Fadzil pernah berceramah di Melaka semasa kempen Pilihan Raya Kecil Asahan namun tidak mendapat sambutan rakyat negeri itu.

"Pada 23 Jun lalu hari ulang tahun ke-10 ustaz Fadzil meninggalkan kita, ustaz Fadzil seorang pemimpin yang amat gigih...beliau mengembangkan pengaruh PAS.

"Saya ingat lagi dalam ceramah pilihan raya kecil di Asahan, Melaka kira-kira 15 tahun lalu. Lebih kurang pukul 10.30 malam kami tunggu tempat ceramah untuk berkempen, seorang pun tiada pengalaman, di Melaka. Lebih kurang pukul 10.30 malam saya tanya ustaz Fadzil kita nak berceramah atau tidak malam ini? Tiada orang, beliau kata kita berceramah juga, biarlah pokok kayu yang beriman.

"Nanti pokok-pokok ini beritahu orang Melaka tentang perjuangan, lebih kurang pukul 11 malam giliran presiden berucap. Adalah tiga atau empat orang yang datang, presiden berucap di depan tiga atau empat orang dalam kempen pilihan raya," katanya pada Rapat Perdana Lebuh Raya Rakyat di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini malam tadi.

Melihat kepada perkembangan dan perubahan politik terkini, Mohamad berkata parti itu mahu menawan Melaka.

"Sekarang negeri yang dulu 15 tahun begitu keadaan tapi hari ini kita berazam untuk menawan negeri Melaka," katanya.

Umno tindas Kelantan sepuas-puasnya

Menyentuh pembinaan Lebuh Raya Kota Bahru-Kuala Krai bernilai RM1.8 bilion yang ditanggung kerajaan negeri Kelantan, Mohamad berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) telah mengkhianati perjanjian persekutuan.

Jelas beliau, kerajaan pusat perlu bertanggungjawab dalam sebarang bentuk pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya.

"Peristawa malam ini adalah peristiwa simbol ketidakadilan kerajaan pusat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam konsep kemerdekaan yang dijanjikan bersama dimeterai antara kerajaan negeri untuk menjadikan kerajaan persekutuan iaitu tanggungjawab pembangunan termasuk pembinaan jalan raya lebuh raya

"Malam ini rakyat Malaysia melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana kerajaan BN mengkhianati perjanjian persekutuan dengan anak-tirikan negeri yang tidak sealiran dengan mereka dalam politik," katanya.

Mohamad turut menyifatkan Umno sebagai hipokrit kerana tidak melindungi Kelantan yang mempunyai paling ramai orang Melayu.

"Kerajaan Umno mengaku diri mereka pelindung Melayu, pejuang Melayu, melindungi Islam dan umat Islam tetapi negeri yang mereka tekan, mereka tindas adalah negeri yang paling ramai peratus orang Melayu iaitu negeri Kelantan.

"Inilah sikap hipokrit yang ditunjukkan oleh Umno, negeri yang majoriti Melayu, kepimpinannya semua orang Islam negeri itulah ditindas sepuas-puasnya oleh Umno dan BN," katanya.


Ruangan Komen