Array


 Nasional   

Jenazah Ismail dikebumi lepas Isyak

pada 12-12-2017 06:12 

Post Pic

 
KUANTAN: Jenazah bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di Jalan Kuala Kangsar-Gerik di Lenggong, Ahad lalu, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, dekat sini, selepas solat Isyak malam ini.
 
Ismail Yaacob, 53, yang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan itu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping (HT) pada jam 1.40 pagi tadi.
 
Abang iparnya, Mohd Nor Yong,48, berkata jenazah Ismail dibawa dari HT pada jam 12.30 tengahari tadi dan turut mengiring jenazah ialah anak sulung arwah, Muhammad Haris ,27.
 
"Jenazah bapa akan disembahyangkan di Masjid Bukit Kuin terlebih dulu dan akan dikebumikan bersebelahan pusara tiga adik saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
 
Dalam kemalangan jam 11 pagi Ahad lalu, tiga beradik maut, manakala Ismail dan isterinya, Zarina Yong, 44, parah serta seorang lagi anak pasangan itu, Nur Ain Harizah, 13, cedera selepas treler dipercayai mengalami masalah brek merempuh empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat itu termasuk Honda HRV dinaiki mangsa.
 
Kemalangan itu dikatakan berlaku selepas treler membawa sisa ikan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek melanggar keempat-empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat simpang empat MRSM Lenggong.
 
 


Tags : Jenazah


Ruangan Komen