ISTIMEWA



 Komentar   

Rajuk Anwar: Masih adakah yang sayang?

pada 09-07-2012 11:07 Ditulis Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

ULASAN Meminta pada yang ada, merajuk pada yang sayang. Demikian asasnya mengapa Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa beliau akan bersara dari politik jika hasrat Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpinnya sekarang menawan Putrajaya, gagal.

Bertolak dari pepatah lama ini, kenyataan pada Financial Times minggu lalu boleh dibaca sebagai satu strategi Anwar memastikan bahawa beliau masih ada pengaruh dalam PR.
 
Semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Anwar semakin resah mengenai kedudukannya.

Serangan terhadap peribadinya semakin hebat baik dari luar mahupun dalam PR. Anwar mahu tahu sama ada masih adakah kasih sayang di kalangan parti-parti politik PR yang bersahabat dengannya.

Jika Pakatan kecundang...

Anwar mahu kepastian adakah desas-desus yang mengatakan bahawa kini semakin ramai di kalangan anggota dan pemimpin PAS serta DAP tidak mahu menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri sekalipun PR menang pilihan raya umum akan datang.

Anwar juga mahu kepastian jika beliau tidak ada untuk memimpin PR, siapakah yang akan ditonjolkan oleh PR sebagai penggantinya. Anwar juga mahu “menggesa” setiap ahli termasuk pemimpin DAP dan PAS yang mengimpikan beliau tidak menjadi Perdana Menteri jika PR menang supaya berfikir apakah akan berlaku kalau beliau tiada lagi dalam PR.

Anwar mahu mereka bayangkan, masih adakah harapan PR untuk menggugat BN jika PR kecundang dalam PRU13 ini tanpanya sebagai pemimpin.

Rajuk Anwar ini adalah tanda awal bahawa beliau mahu PAS dan DAP menilai semula kerjasama dan setiakawan mereka dengan PKR dan mengakui hakikat bahawa tanpanya perikatan itu tidak mungkin wujud.

Semua orang tahu jika ada peluang untuk PR mengugat hegemoni BN, PRU13 lah masanya.

Anwar mahu anasir dalam DAP dan PAS yang masih sangsi akan kemampuan dan kewibawaannya memimpin PR, maka itu akan membantutkan sebarang benih kejayaan dalam PRU13!
 
Akhir-akhir ini pelbagai sosek politik didengar bahawa kononnya, jika Anwar terus memimpin dan disogokkan sebagai calon Perdana Menteri jika PR menang, harapan PR untuk benar-benar akan menang semakin menipis.

Seperti pemikiran BN, juak-juak PAS dan DAP ini berprasangka bahawa kebobrokan peribadi Anwar dengan pelbagai kisah salahlaku seks, pengurusan wang secara tidak telus ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, akan menjadi umpan kempen memburuk dan melemahkan kredibiliti PR keseluruhannya dalam PRU13.

Realiti politik

Dikhabarkan juga bahawa sudah ada perwakilan PAS yang mengajak pemimpin DAP menilai pemikiran ini dan bersama memikirkan siapa yang layak jadi Perdana Menteri jika PR menang.

Anwar mahu anasir ini kembali kepada realiti politik. Jika beliau tidak memimpin PR apakah PR boleh sampai ke tahap sekarang iaitu mampu menggugat dan menggerunkan BN? Anwar mahu suara majoriti dalam PAS dan DAP yang menyokong kedudukannya sebagai pemimpin PR bersuara sekarang.

Setakat ini hanya Nik Aziz Nik Mat sahaja yang berani bersuara supaya Anwar teruskan perjuangan memimpin PR. Masih belum kendengaran sokongan dan lebih tepat lagi “pujukan” daripada Haji Hadi Awang, Lim Kit Siang, Lim Guang Eng. Peguam Anwar, Karpal Singh pun menyepi.

Maka tidak benar dakwaan Hasan Ali bahawa PAS dicengkam oleh Anwarinas. Tiada suara sungguh-sungguh dan jelas daripada pihak pemimpin PAS bahawa mereka sanggup tenggelam atau timbul dengan Anwar – sebelum mahupun selepas PRU13.

Maka benarlah bahagian pertama pepatah orang dahulu kala – meminta pada yang ada.

Kenyataan kepada Financial Times ialah cara Anwar meminta kepastian apakah majoriti dalam PAS dan DAP sanggup bersamanya dalam perjuangan politik Malaysia tidak kira apa jua keputusan pilihanraya umum kelak.

Untuk  bab pertama pepatah itu, jawapannya agak jelas.

Kini Anwar perlu berhadapan pula dengan satu lagi realiti – merajuk pada yang sayang.

Lebih sayangi Faekah...

Anwar ingin tahu bahawa jika PR kalah dalam PRU13, apakah masih ada kasih sayang dalam barisan pimpinan dan ahli PKR kepadanya? Anwar mahu diyakinkan bahawa hidup atau mati PKR atau PR, PKR biarlah bersamanya.

Apa yang agak menggetarkan Anwar ialah, hanya anak sulungnya Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR sahaja yang menerpa ke hadapan untuk menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar dalam PR.

Seperkara lagi ialah, adat orang merajuk, penawarnya ialah mahu dipujuk.

Gambaran masa hadapan politik Anwar kini semakin jelas apabila tiada usaha ikhlas dan sungguh-sungguh daripada mana-mana pihak dalam PKR untuk memujuk Anwar menimbang semula hasrat Anwar untuk bersara selepas PRU13 jika PR gagal merebut kuasa.
 
Mungkin benar cerita bahawa PKR kini benar-benar berbalah.

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menjadi ahli yang dilantik dalam Biro Politik PKR sendiri sudah tidak menghiraukan adab politik PKR.

Meskipun diterjah oleh ramai pemimpin PKR akan keserakahan setiausaha politiknya, Faekah Husin, dan didesak supaya memberhentikan perkhidmatan beliau, Khalid tidak ambil pusing.

Malah beliau dengan angkuh mempertahankan prestasi Faekah sebagai sangat cemerlang.

Anwar merajuk. Khalid tidak dengar cakapnya dan pemimpin lain dan PKR pun terlalu mendesaknya menghukum kebiadapan Khalid.

Anwar mahu tahu masih adakah yang sayang PKR padanya. Yang tinggal menyayanginya hanya Nurul Izzah. Wan Azizah pula bagaimana? Adakah presiden PKR itu lebih menyayangi Faekah daripada Anwar?


Ruangan Komen