ISTIMEWA



 Nasional   

Subsidi: Anwar cari alasan 'escapism', kata UMNO

pada 21-06-2012 06:06 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 

SHAH ALAM: Tindakan kerajaan persekutuan meningkatkan subsidi gula, tol dan bahan api dalam peruntukan tambahan belanjawan tiada kena mengena dengan syarikat kroni.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Haji Samsol Bari Jamali berkata, subsidi terhadap ketiga-tiga barangan berkenaan diberikan mengikut pasaran, yang mana sekiranya tidak diberikan kosnya akan ditanggung rakyat sendiri.

"Siapa kroni masalahnya? Subsidi diberi kerana mengikut pasaran. Kalau tak diberi, rakyat yang kena bayar. Bayar kepada pihak pembangkang juga, tak kira siapa dia. Tak ada kena mengena dengan kroni," katanya ketika dihubungi AntaraPos.com.

AntaraPos.com semalam menyiarkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan tindakan kerajaan persekutuan, dengan mengatakan ianya tidak memberi manfaat rakyat sebaliknya hanya menguntungkan syarikat kroni.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang menyifatkan Ketua Umum PKR tersebut kehabisan modal dengan memberikan alasan 'escapism'.

"Ini adalah alasan escapism, alasan mudah untuk menidakkan kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Soalnya, kalau tiada subsidi, harga barangan akan naik. Apabila naik, ia akan dibayar oleh siapa? Rakyat (juga).

"Biasalah siapa yang membeli. Kita bayar kepada pembekal lah. Tak timbul soal kroni,"katanya lagi.   

Sementara itu, ADUN Johor Jaya, Tan Cher Puk turut sependapat dengan Samsol dan mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat gemar melemparkan tuduhan bagi menutup kelemahan mereka.

"Subsidi ni meringakan kehidupan, mengurangkan tekanan kepada kita. Tanpa subsidi rakyat akan hadapi tekanan besar.

"Biasalah Pakatan suka beri tuduhan macam-macam. Apa yang kita buat baik, dia kata tak baik. Macam tol lagi lah kita rasa. Kalau di China tol dia dua kali ganda tinggi. Tol negara kita adalah yang paling murah di rantau ASEAN. Dia memang boleh tuduh macam-macam. Buktikanlah," katanya.  

Anwar dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam mengatakan peningkatan subsidi dalam peruntukan tambahan belanjawan akan menguntungkan syarikat kroni.

Beliau selanjutnya memberikan contoh pertambahan subsidi bahan api sebanyak RM7.5 billion lagi daripada bajet asal 2012 iaitu RM 17 billion.

Selain bahan bakar, subsidi untuk gula juga ditambah RM367 dari bajet RM 200 juta , menjadikan jumlah keseluruhannya RM567 juta.

Manakala penambahan subsidi tol sebanyak RM343 juta lagi dari bajet asal RM446 juta juga dipersoalkannya.


Ruangan Komen