Array


 Nasional   

Tidak bincang politik, sekadar lawatan silaturrahim - Naib Presiden PKR [TONTON VIDEO]

pada 13-08-2017 12:08 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Pertemuan antara pemimpin tertinggi PKR dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi hanya sekadar lawatan silaturrahim yang tiada kaitan dengan sebarang perbincangan ke arah kerjasama politik.
 
Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, hasrat pimpinan partinya untuk menziarahi Abdul Hadi sudah lama dirancang sejak Presiden PAS itu menerima rawatan disebabkan masalah kesihatannya.
 
"Kunjungan itu memang sudah lama difikirkan, juga untuk ke Terengganu menziarahi beliau. Tetapi akhirnya beliau di sini, jadi kita ambil kesempatan untuk menziarahi beliau. Tiada langsung cerita politik. 
 
"Hanya cerita mengenai kesihatan, bertanya khabar dan sebagainya. Beliau tanyakan khabar Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Anwar pun sampaikan salam kepada Hadi. Maknanya sekadar bertanya khabar dan ia lawatan silaturrahim antara pimpinan Keadilan (PKR) dan Datuk Seri Hadi," katanya kepada Antarapos.
 
Abdul Hadi malam tadi menerusi laman Facebook berkongsi gambar beliau menerima kunjungan daripada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Turut serta dalam kunjungan itu adalah Shaharuddin sendiri.
 
Gambar tersebut yang turut dikongsi Azmin menerusi Twitter beliau, sekaligus mencetuskan spekulasi sama ada kedua-dua parti itu akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang, selepas tahaluf siyasi antara keduanya terputus pada Mei lalu. 
 
Lebih menimbulkan tanda tanya, kunjungan itu dilakukan beberapa hari selepas Azmin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH). 
   
Malah, Azmin yang ditemui pemberita sewaktu menghadiri Karnival Inisiatif Peduli Rakyat, di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, tengah hari semalam berkata, beliau bersedia untuk berunding dengan PAS dalam mendepani PRU14 kelak.
 
Menteri Besar Selangor itu memberitahu tindakan itu penting supaya tiada pertembungan sesama pembangkang memandangkan PAS kini bukan sebahagian daripada gabungan berkenaan. 
 
Bagaimanapun, Shaharuddin tegas menolak tanggapan kononnya kunjungan terhadap Hadi malam tadi itu berhubung kait dengan peranan baru Azmin.
 
"Rancangan (untuk ziarah Abdul Hadi) sudah tertangguh dari masa ke semasa. Ianya bukan dirancang selepas Azmin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PH.
 
"Namun, memang hasrat kami dengan PAS supaya tidak putus, kalau putus tahaluf siyasi pun tapi dalam pilihan raya, kita merasakan kalau boleh nak lawan Barisan Nasional (BN) seperti yang saya katakan dulu, nak lawan BN perlu bantuan. Kalau boleh kita nak ada persefahaman, sama ada 'eloctoral pact', taawun.
 
"Kita akan lakukan apa saja untuk pastikan satu lawan satu. Cuma, kunjungan semalam tiada kaitan dengan politik," katanya lagi.     
 
Beliau juga tidak menolak kunjungan malam tadi sebagai permulaan yang positif untuk kedua-duanya mencari persefahaman dalam mendepani PRU14.
 
Malah ujarnya, amalan ziarah menziarahi antara pimpinan sesama pembangkang wajar diteruskan bukan saja di peringkat pusat, tetapi juga diamalkan pimpinan peringkat negeri.
 
"Apa saja yang kita lakukan itu, kalau boleh 'kimia' itu kena ada. Perlu ziarah menziarahi, bertanya khabar... tak semestinya semua perlu diselesaikan secara politik, kita selesai secara ukhwah dahulu dan kemudiannya kita lihat apa yang akan jadi, InsyaAllah," ujar beliau.
 



Ruangan Komen