Array


 Nasional   

Fathul Bari nasihatkan Syed Saddiq berhati-hati buat kenyataan

pada 13-08-2017 08:08 
Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya menasihati Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar berhati-hati membuat kenyataan berhubung kekecohan yang berlaku dalam Forum 'Nothing To Hide 2.0' di Shah Alam, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Syed Saddiq kononnya ada tindakan terancang untuk mencederakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang, Dr Mahathir hampir tercedera selepas seorang peserta forum yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas, ketika beliau sedang berucap.
 
Terdahulu peserta itu bertanyakan soalam perihal tragedi Memali ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
 
"Tak payah kita buat tuduhan kononnya ada strategi nak cederakan Tun Mahathir dan sebagainya. Bagi saya senang sahaja. Lapor pada polis. Biar polis buat siasatan tentang perkara ini.
 
"Bila anda buat kenyataan begitu, ia boleh timbulkan persepsi bahawa ini tentunya (kerja) pihak yang menentang Tun M pada hari ini, kononnya.
 
"Kita tidak tahu siapa orang itu. Adakah dia individu yang geram (dengan Tun Mahathir), atau dia dari kelompok tertentu ataupun dia mungkin ahli keluarga Memali. Itu contoh kita tak tahu," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Forum anjuran Armada PPBM, hari ini bertukar kecoh apabila peserta itu mula membaling kerusi dan botol air ke arah pentas. 
 
Sejurus kemudian, beberapa peserta lagi bertindak membakar suar menyebabkan hadirin yang hadir lari bertempiaran keluar daripada dewan.
 
Syed Saddiq dalam sidang medianya selepas kekecohan itu berkata pihaknya yakin individu tersebut bukan ahli Armada biarpun dia memakai baju sayap parti PPBM itu.
 
Malah beliau mendakwa individu itu adalah pelajar.
 
Mengulas kenyataan Syed Saddiq itu, Fathul berkata Armada sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum cuba membina persepsi di kalangan orang awam.
 
"Tolong berhati-hati. Jangan buat andaian bukan-bukan. Mungkin kalau di pihak Syed Sadiq cakap macam itu, orang sebelah sana (Umno BN) akan kata 'ini sebenarnya rancangan untuk Tun Mahathir raih simpati rakyat', contoh. 
 
"Saya akan terus menasihati rakyat Malaysia agar setiap satu perkara itu perlu diselesaikan ikut prosedur dan sistem perundangan yang ada, di negara kita," ujarnya.
 
Beliau ketika ditanya adakah kemungkinan kekecohan itu didalangi Umno, Fathul pantas menolaknya.
 
"Mana boleh (kaitkan dengan Umno). Kena buktikan," ujarnya tegas.
 
-ze-
 


Tags : Fathul Bari Syed Saddiq


Ruangan Komen