ISTIMEWA



 Nasional   

Rakyat berhak tahu aliran RM300 juta Selangorku

pada 22-06-2012 05:06 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Kegagalan kerajaan negeri Selangor memperincikan perbelanjaan Geran SelangorKu yang bernilai RM300 juta terus dibidas pelbagai pihak.

Terbaru, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo (atas, kanan) berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertanggungjawab menjelaskan kepada penduduk berhubung apa yang dilakukannya dengan wang rakyat itu.

"Kita minta agar pihak yang bertanggungjawab menyiasat macam mana duit ini dibelanjakan kerana itu duit rakyat bukan duit dia(menteri besar).

"Adakah duit itu betul-betul digunakan untuk rakyat atau duit itu diselewengkan ke tempat lain?" soalnya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Abdul Khalid teragak-agak apabila wartawan meminta beliau memperincikan perbelanjaan Geran SelangorKu.

Sebaliknya, beliau hanya berkata sudah mula mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat bagi bertanyakan penggunaan dan tumpuan penggunaan Geran Selangorku.

Janjinya, beliau akan memberikan perincian mengenai perbelanjaan geran itu yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri pada 12 Julai ini.

Menurut Ismail, menteri besar itu tidak mempunyai sebarang alasan untuk berdolak dalih dan wajar memaklumkan perbelanjaan berkenaan kepada rakyat kerana wang yang digunakan adalah milik rakyat Selangor.

"Rakyat negeri Selangor berhak untuk tahu perbelanjaan tersebut digunakan untuk apa," katanya.

Beliau juga menyelar Pakatan Rakyat yang pernah mempertikaikan penyaluran dana RM1.5 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada setiap kawasan parlimen BN, sebagai 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.

"Kalau dulu dia boleh korek itu dan ini macam-macam sedangkan semua perkara itu merupakan digunakan secara berhemah dan untuk rakyat jadi dana ini (selangorku) juga kita mahu tahu,"

"Dia mengata kita (BN) sedangkan kita membelanjakan duit itu secara berhemah mengikut prosuder dan perbelanjaan kita ada rekod tapi kalau ini, RM300 juta untuk tiga  bulan, untuk apa sebenarnya duit itu digunakan?" soalnya.

Geran Selangorku yang mula dibelanjakan Mac lalu menimbulkan kontroversi apabila dana yang  diuruskan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor dan  diselenggarakan oleh Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) itu memberikan kuasa mutlak kepada Abdul Khalid membelanjakan peruntukan tersebut.

Meskipun membabitkan duit rakyat yang begitu  banyak,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ariff Abdul Rahman dan ketua-ketua jabatan dipinggirkan daripada Jawatankuasa Geran Selangorku.

Mengikut dokumen yang diperolehi, Abdul Khalid mempunyai kuasa muktamad dalam menentukan kelulusan projek-projek Selangorku selepas diteliti oleh sebuah jawatankuasa yang dianggotai pegawai-pegawai MBI dan pejabat Menteri Besar sendiri.  

Bagaimanapun, tiada ahli exco yang dilantik dalam jawatankuasa berkenaan.

Sebaliknya, Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku itu dianggotai  Faekah Husin (Setiausaha Politik MB), Rohany Talib (Ketua Pentadbir MBI) dan Arfa’eza Abd Aziz (Setiausaha Akhbar MB).

Antara peruntukan dana itu adalah suntuk membersihkan masjid dan surau di seluruh negeri itu. Namun tinjauan rambang Antarapos.com mendapati jemaah surau di Ijok mendakwa tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan negeri sejak 2008 lagi walaupun telah beberapa kali permohonan dibuat.

Malah, hasil tinjauan mendapati setiap surau di kawasan tersebut terpaksa mengambil inisiatif sendiri bagi mendapatkan dana untuk meneruskan aktiviti keagamaan mereka.
 


Ruangan Komen