Array


 Dunia   

Pemimpin Pergerakan Payung dijel

pada 18-08-2017 03:08 

Post Pic

 
Hong Kong: Tiga pemimpin muda bantahan besar-besaran Hong Kong pada 2014 yang digelar Pergerakan Payung dipenjara kerana peranan mereka menganjurkan protes prodemokratik itu, seterusnya menjadi pukulan hebat terhadap kempen untuk pembaharuan politik di bandar separa berautonomi itu.
 
Hukuman dijatuhi Mahkamah Rayuan bandar itu juga dalam pada kebimbangan menular terhadap apa dianggap usaha Beijing mengukuhkan pegangannya terhadap Hong Kong yang turut dilihat menjejaskan kedaulatan undang-undang.
 
Joshua Wong - yang masih berusia remaja ketika namanya melonjak sebagai orang kuat pergerakan itu - serta Nathan Law dan Alex Chow masing-masing dipenjara enam, lapan dan tujuh bulan.
 
Dalam penghakimannya, mahkamah berkata: “Mahkamah bertanggungjawab memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa aktiviti seperti perhimpunan, perarakan dan protes perlu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang.”
 
Sesiapa yang dipenjara lebih tiga bulan dilarang bertanding di Parlimen selama lima tahun.
 
Wong berusia 21 tahun pada Oktober ini seterusnya mencapai usia yang diperlukan untuk mencapai cita-citanya menjadi ahli Parlimen.
 
Dalam satu temu ramah sebelum ini dia dilaporkan berkata, kes terhadapnya itu usaha untuk mengekang pengaruh aktivis muda.
 
Sementara itu, Law, 24, dilantik ahli Parlimen dalam pilihan raya tahun lalu tetapi dibatalkan bersama tiga yang lain kerana menyertakan kata-kata protes ketika mengangkat sumpah.
 
Mereka bertiga didapati bersalah tahun lalu atas tuduhan perhimpunan haram selepas merempuh kawasan yang ditutup anggota keselamatan ketika memprotes mendesak pilihan raya bebas pada September 2014.
 
Penahanan mereka mencetuskan bantahan besar-besaran yang berakhir dengan keganasan apabila polis melepaskan gas pemedih mata yang turut mengakibatkan beberapa kawasan di Hong Kong ditutup sepenuhnya selama dua bulan.
 
Susulan itu, Ogos tahun lalu, Wong dan Law diarahkan melakukan khidmat masyarakat manakala Chow diberi hukuman penjara tertangguh selama tiga bulan.
 
Jabatan kehakiman Hong Kong kemudian merayu terhadap hukuman berkenaan.


Tags : Pemimpin Pergerakan Payung dijel


Ruangan Komen