Array


 Nasional   

Pegawai JSJ Bukit Aman maut ditembak di Jitra

pada 19-08-2017 04:08 

Post Pic

 
ALOR SETAR: Seorang pegawai polis maut selepas terkena empat das tembakan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changlun, Jitra semalam.
 
Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam tembakan yang dilepaskan ke arahnya.
 
Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata dalam kejadian 10.25 malam itu, mangsa sedang berbual di pekarangan rumah rakannya sebelum datang seorang lelaki yang bertindak melepaskan enam das tembakan dari luar pagar.
 
“Empat tembakan terkena bahagian belakang badan mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
 
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan mangsa dan memburu dua lagi, masing-masing berusia 30 dan 36 tahun, bagi membantu siasatan, katanya.
 
“Kita percaya kejadian ini ada kaitan dengan aktiviti pembanterasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang sedang dilakukan di Bukit Kayu Hitam sejak dua minggu lalu,” katanya.
 
Asri berkata polis juga percaya mangsa yang sedang bercuti pergi ke rumah rakannya itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan kumpulan gangster dan penyeludupan di sempadan Bukit Kayu Hitam.
 
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menghantar satu pasukan khas ke Kedah bagi membantu siasatan kes termasuk dalam usaha memburu suspek, lapor Berita Harian.
 
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pasukan terdiri daripada pelbagai elemen JSJ, termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) sudah dihantar ke utara tanah air awal pagi tadi.
 
 
 
-sh-


Tags : Bukit Aman Jitra


Ruangan Komen