Array


 Dunia   

Kos kerosakan taufan Harvey dianggar lebih RM640 bilion

pada 04-09-2017 12:09 

Post Pic

 
HOUSTON: Gabenor Texas, Greg Abbott, menganggarkan kerosakan akibat taufan Harvey adalah antara AS$150 bilion (RM640.58 bilion) hingga AS$180 bilion (RM768.69 bilion).
 
Beliau turut menyifatkan bencana itu lebih mahal berbanding kesan taufan Katrina atau Sandy, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kaedah pembayaran pampasan.
 
Taufan Harvey pertama kali melanda Texas pada 25 Ogos lalu dan dilaporkan yang terkuat dalam tempoh 50 tahun, selain meragut nyawa kira-kira 47 mangsa.
 
Ia juga menyebabkan lebih sejuta penduduk terpaksa dipindahkan dan memusnahkan kira-kira 200,000 kediaman pada laluannya sejauh lebih 300 kilometer.
 
Abbott yang mengusahakan bantuan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk kos baik pulih negerinya berkata, kerosakan itu mengatasi taufan Katrina yang memusnahkan New Orleans dan kawasan berhampiran pada 2005 serta taufan Sandy yang menenggelamkan bandar raya New York dan timur laut AS pada 2012.
 
"Katrina membabitkan kerugian lebih AS$120 bilion (RM512.46 bilion) tetapi jika kamu melihat jumlah rumah dan perniagaan terjejas, saya berasa kos akan melebihi AS$120 bilion, mungkin antara AS$150 bilion hingga AS$180 bilion," kata Abbott kepada Fox News sambil menambah ia jauh lebih besar berbanding taufan Sandy.
 
Pentadbiran Presiden Donald Trump sudah meminta Kongres meluluskan dana sebanyak AS$7.85 bilion (RM33.52 bilion) untuk usaha baik pulih yang disifatkan Abbott sebagai duit muka. 


Tags : Kos kerosakan Taufan Harvey


Ruangan Komen