Array


 Dunia   

Merkel, Trump perketat sekatan ke atas Pyongyang

pada 05-09-2017 08:09 

Post Pic

BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersetuju untuk meningkatkan sekatan terhadap Korea Utara, susulan ujian nuklear terbaharu yang dilancarkan oleh Pyongyang.
 
Persetujuan itu dicapai hasil perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin dan mereka berkongsi pandangan bahawa masyarakat antarabangsa perlu mempertingkatkan tekanan ke atas rejim Korea Utara.
 
"Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu meluluskan sekatan baharu yang lebih ketat," kata jurucakap pejabat Merkel dalam satu kenyataan.
 
Ahad lalu, Korea Utara mencetuskan kebimbangan dunia apabila negara itu meletupkan bom hidrogen, dipercayai direka bentuk bagi peluru berpandu jarak jauh.
 
"Ujian letupan bawah tanah itu mempunyai kekuatan antara 50 hingga 100 kilotan atau secara purata lima kali ganda lebih kuat daripada bom yang diletupkan di Hiroshima," kata Ketua Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman kepada Majlis Keselamatan.
 
Selain itu, jurucakap pejabat Merkel berkata, Canselor Jerman itu dan Trump juga bersetuju untuk mendapatkan sokongan pemimpin Kesatuan Eropah bagi melaksanakan sekatan lebih ketat terhadap Pyongyang.


Tags : Merkel Trump Pyongyang


Ruangan Komen