Array


 Dunia   

Prasarana bukti keupayaan kendali jemaah

pada 06-09-2017 08:09 

Post Pic

 
MAKKAH: Prasarana Malaysia kini dilihat setanding syarikat pengendali sistem tren terbaik dunia susulan kejayaan operasi tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL).
 
Diiktiraf sebagai tren metro paling sibuk dan berkepadatan penumpang tertinggi, Prasarana melaksanakan misi ibadat itu pada tahap profesionalisme tertinggi tanpa insiden tidak diingini.
 
Malah, pengoperasian tren itu bermula 29 Ogos hingga 4 September lalu turut disertai 10 wakil media tempatan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid.
 
Abdul Jalil turut menyifatkan kecekalan petugas Prasarana terutama dalam mengharungi cabaran cuaca panas dan pelbagai kerenah penumpang yang amat ramai, sebagai faktor utama kejayaan pengoperasian tren berkenaan.
 
"Di Stesen Arafah 3, saya bersama Presiden dan CEO Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz terserempak seorang lelaki warga Palestin bersama ibunya yang uzur mahu menggunakan tandas.
 
"Beliau sempat menyatakan kekaguman melihat sistem tren berkenaan yang diuruskan dengan baik, malah berbangga apabila mengetahui ia dikendalikan anak Malaysia dan syarikat negara kita.
 
"Ini pencapaian yang cukup mengagumkan," katanya pada majlis doa selamat meraikan kejayaan operasi tren haji di Depoh MMMSL Al-Abdiya, Arafah di sini, malam tadi.
 
Hadir sama CEO Prasarana Integrated & Management Services (PRIME), Masnizam Hisham dan Pengarah Urusan MMMSL, Ahmad Jamaluddin Salleh.
 
Abdul Jalil turut menganggap kejayaan operasi tren berkenaan sebagai simbol kemajuan negara Islam, sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan dalam kelompok negara berkenaan, terutama membabitkan pengurusan sistem pengangkutan awam.
 
"Operasi MMMSL membuktikan keupayaan Prasarana mengendalikan antara sistem tren paling mencabar di dunia.
 
"Kita yakin jika Prasarana berjaya di Arab Saudi, kita boleh melakukannya di mana saja di dunia ini.
 
"Dalam konteks media, kita akan terus menyokong Prasarana menabur bakti di luar negara dan menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
 
Selain BH, turut melakukan liputan menyeluruh terhadap operasi tren haji itu ialah TV3, Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama dan Bernama TV.
 
Abdul Jalil berkata, kehadiran wakil media terbabit adalah untuk laporan lebih jelas dan terperinci mengenai operasi tren haji berkenaan kepada rakyat di tanah air.
 
"Peluang diberi Prasarana untuk membuat liputan di lapangan amat dihargai. Difahamkan, ini julung kalinya Prasarana membawa wakil media membuat liputan secara langsung pengoperasian tren berkenaan.
 
"Ia pengalaman menarik bagi wakil media yang mengikuti program ini. Bahan cetak, gambar dan video yang disiarkan berupaya menjelaskan kepada rakyat mengenai keupayaan petugas PRIME mengendalikan tren berkenaan," katanya.


Tags : Prasarana jemaah


Ruangan Komen