Array


 Dunia   

Banyak kapal Tentera Laut AS di Pasifik tiada pensijilan

pada 08-09-2017 08:09 

Post Pic

 
WASHINGTON: Kumpulan pemerhati kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata semalam lebih satu pertiga kapal Tentera Laut AS yang berpangkalan di luar Jepun sudah tamat tempoh pensijilan latihan peperangan.
 
Isu itu dibangkitkan penggubal undang-undang yang bimbang akan tahap kesediaan selepas beberapa siri perlanggaran membabitkan Tentera Laut tahun ini.
 
Tentera Laut AS baru-baru ini memecat Komander Armada Ketujuh Laksamana Madya Joseph Aucoin selepas satu perlanggaran antara sebuah kapal pemusnah peluru berpandu dan kapal dagang di timur Singapura dan Malaysia Ogos lalu, kejadian keempat membabitkan Armada Pasifik AS tahun ini.
 
Dalam kejadian terbaharu itu, 10 kelasi terbunuh selepas USS John S. McCain bertembung dengan sebuah kapal dagang di perairan berhampiran Singapura dan Malaysia, memaksa AS melakukan siasatan meluas membabitkan operasi dan latihan.
 
Jun lalu, USS Fitzgerald bertembung dengan kapal kontena Filipina, menyebabkan tujuh kelasi kapal AS terbunuh.
 
Ketika Bercakap kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Bersenjata di Dewan Rakyat, wakil Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS (GAO), John Pendleton berkata sebuah laporan menunjukkan bahawa 37 peratus daripada kapal perentas dan pemusnah AS yang berpangkalan di luar Jepun sudah tamat tempoh pensijilan peperangan pada Jun 2017. Ia adalah lima kali ganda berbanding jumlah pada Mei 2015.
 
Sijil ini mengukur sama ada kapal dan anak kapalnya terlatih dan bersedia untuk sesuatu operasi. 


Tags : Kapal tentera Pasifik pensijilan


Ruangan Komen