Array


 Dunia   

Dialog damai Arab Saudi-Qatar terjejas

pada 10-09-2017 11:09 

Post Pic

 
 
RIYADH: Arab Saudi semalam menangguhkan semua sesi dialog dengan Qatar apabila menuduh negara itu memutar belit fakta selepas pemimpin kedua-dua negara menawarkan ruang untuk menyelesaikan krisis yang berlaku.
 
Menurut laporan media tempatan, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani sebelum itu berhubung dengan Putera Raja Arab Saudi, Mohammed Salman untuk mengadakan perbincangan, sekali gus menyaksikan penglibatan kedua-dua pemimpin secara terbuka selepas Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.
 
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan Mohammed mengalu-alukan ‘ajakan’Qatar dan memaklumkan semua maklumat perbincangan antara kedua-dua negara itu akan didedahkan selepas negara ini mencapai persetujuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.
 
Bagaimanapun, timbul ketegangan apabila SPA menuduh media Qatar melaporkan maklumat salah apabila menyatakan Arab Saudi yang berminat untuk mengadakan perbincangan dengan ne­gara tersebut.
 
“Qatar yang meminta supaya sesi dialog diadakan dengan Arab Saudi tetapi negara itu dilihat tidak serius untuk melakukan perbincangan.
 
“Arab Saudi dengan ini mengisytiharkan semua sesi dialog dengan Qatar akan ditangguh sehingga negara itu membuat kenyataan terbuka mengenai keputusannya,” jelas SPA yang memetik Kementerian Luar negara ini.
 
Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir memboikot Qatar kerana mendakwa negara itu menyo­kong per­tubuhan pengganas dan individu serta me­ngekalkan hubungan ra­pat dengan Iran yang didakwa cuba menjejaskan kestabilan Asia Barat. 


Tags : Arab Saudi-Qatar


Ruangan Komen