Array


 Nasional   

Sultan Kedah mangkat

pada 11-09-2017 04:09 

Post Pic

 
ALOR SETAR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
 
Almarhum baginda, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.

Berita dukacita itu diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.
 
Manakala penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.
 
Seterusnya, jenazah akan dibawa melalui Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tun Razak dan terus ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada jam 4 petang.
 
Selain itu, Ahmad Bashah antara lain turut memberitahu, bendera Negeri dan Persekutuan serta bendera-bendera lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga mulai hari ini.
 
Tambah Ahmad Bashah, tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 September 2017.
 
Sementara itu, hari Selasa (12 September) juga diisytiharkan sebagai cuti kelepasan am, bagi seluruh negeri Kedah, kecuali bagi mereka yang menjalani Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
 
Almarhum baginda dilahirkan pada 28 November 1927 ialah anakanda ketiga Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.
 


Tags : Sultan Kedah mangkat


Ruangan Komen