Array


 Nasional   

Kerjasama PAS-PKR: Amanah perlu realistik, tunjuk kematangan - Penganalisis

pada 11-09-2017 06:09 
Oleh Athirah Hanapiah

Post Pic

 
SHAH ALAM: Amanah perlu bersikap lebih realistik dalam membuat sebarang kritikan pada ketika ini bagi menunjukkan kematangan sebagai parti yang baru ditubuhkan itu.
 
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan parti serpihan PAS itu belum lagi berhak untuk membuat sebarang gesaan terutamanya soal kerjasama diantara PKR dengan PAS di negeri Selangor.
 
Ini kerana katanya, kerajaan negeri yang ada pada ketika ini ditubuhkan hasil daripada mandat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), iaitu sebelum tertubuhnya Amanah.
 
"Amanah perlu bersikap lebih matang kerana tidak boleh sewenang-wenangnya mereka menyatakan kepada Menteri Besar untuk PKR tidak mengadakan kerjasama bersama PAS kerana pembentukan kerajaan yang ada pada hari ini, Pakatan yang ada pada hari ini juga terbentuk atas kerjasama di antara PKR, DAP dan PAS.
 
"Dari segi situasi semasa Amanah sebenarnya tidak boleh memberikan kritikan atau membuat gesaan-gesaan yang sedemikian kerana dalam konteks pentadbiran di Selangor, Amanah tidak mempunyai apa-apa peranan terutama dalam pemerintahan di Selangor itu sendiri," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas usul Amanah Selangor semalam semasa konvensyen Amanah peringkat negeri itu yang menuntut supaya mengkaji semula kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
Usul yang dicadangkan oleh Ketua Amanah Kawasan Ampang Mohd Anuar Mohd Yusof diterima kemudiannya dtierima oleh perwakilan tanpa sebarang penolakan.
 
Namun, usul itu lantas mendapat kritikan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin yang menganggap tindakan atau usul tersebut sebagai tidak matang.
 
Zuraida turut berkata dalam mesyuarat pertama PH Selangor Jumaat lepas yang dihadiri wakil-wakil Amanah, mereka bersetuju bahawa tidak ada perubahan kepada komposisi kerajaan Selangor.
 
Dalam pada itu, mengulas lanjut Martadha menyatakan tidak seharusnya timbul lagi isu pimpinan PAS perlu disingkirkan di kerajaan negeri Selangor kerana ia bagi meneruskan mandat yang telah diberikan rakyat.
 
Malah ujarnya, penyingkiran PAS dari Selangor bakal memberi kesan buruk kepada kerajaan pimpinan Azmin itu yang dimenangi hasil daripada 'sumbangan' PAS.
 
"Tidak ada isu terutamanya bagi menyatakan bahawa PKR perlu menyingkirkan PAS di kerajaan Selangor terutamanya, kerana ia pasti memberi kesan kepada kepimpinan kerajaan PH di Selangor.
 
"Tidak ada sebab untuk PKR menolak kerjasama dengan PAS kerana apa yang mereka ada pada hari ini, kuasa yang dipunyai oleh mereka adalah hasil daripada kerjasama di antara PKR dengan PAS serta rakan mereka yang lain iaitu DAP," ujar beliau.
 
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.
 
Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat pada 2 September lalu berkata beliau mempersetujui usaha Azmin berunding dengan PAS dalam membentuk kerjasama bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
 
Surat Anwar itu mengundang kritikan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menimbulkan "masalah" kepada pakatan pembangkang itu.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi bagaimanapun membayangkan sebarang kerjasama antara dua parti hanya akan dipertimbangkan jika PKR sanggup keluar daripada PH dan menyertai Gagasan Sejahtera yang merangkumi PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).  
 
-na-



Ruangan Komen