Array


 Nasional   

Perahu tambang Sg Sarawak: Wajib pakai jaket keselamatan atau disaman

pada 12-09-2017 08:09 

Post Pic

KUCHING: Semua pengusaha bot tambang di Tebingan Kuching diwajibkan untuk mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Ordinan Sungai Sarawak dan Ordinan Perkapalan Saudagar Sarawak, berkuat kuasa November depan.
 
Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, antara peraturan ini ialah penggunaan jaket keselamatan dan mengelak membawa lebih penumpang, yang sering dikesan diabaikan pengusaha ini.
 
"Nyawa dan keselamatan adalah keutamaan kami dan jika mereka melanggar peraturan, kami akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman," katanya ketika ditemui pada Program Moh Ngeteh Merdeka @ KKLW 2017 di Markas Polis Marin Wilayah Lima di sini.
 
Katanya, pihaknya tidak mahu nasi menjadi bubur dan berusaha untuk mengelak berlakunya kehilangan nyawa akibat tindakan rakus pengusaha.
 
"Kerana itu, kita akan melakukan pemantauan rapi, terutama pada setiap hujung minggu, yang menyaksikan jumlah pelancong yang ramai melawat kawasan tersebut.
 
Ketika ini katanya, pihaknya masih mengamalkan pendekatan yang lembut, dengan hanya memberi nasihat kepada pengusaha terbabit sejak Ogos lalu.
 
"Akan tetapi kita akan bertegas selepas ini.
 
Pada masa yang sama katanya, pihaknya telah menugaskan dua buat jet ski dan empat anggota untuk melakukan rondaan rutin di kawasan tumpuan pelancongan tersebut bagi menjamin keyakinan pengunjung, terutamanya pelancong.
 
"Mereka inilah yang bertanggungjawab memantau perjalanan perahu-perahu tambang ini, selain pada masa yang sama memastikan tiada pelancong yang tergelincir, selain melaksanakan tugas cegah jenayah," tambahnya lagi.
 
Rondaan berlaku dari pagi hingga petang dan akan dipanjangkan hingga malam,  jika jumlah pengunjung Tebingan Kuching meningkat.



Ruangan Komen