Array


 Nasional   

PM: Lawatan Malaysia ke AS bukan kerana wang

pada 12-09-2017 11:09 

Post Pic

 
WASHINGTON: Kedatangan Malaysia ke Amerika Syarikat bukan kerana wang, sebaliknya satu penanda aras bahawa negara ini merupakan salah satu negara penting kepada kuasa besar itu, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju.
 
"Kita datang untuk beritahu bahawa  kita boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar, " katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama pelajar dan rakyat Malaysia di AS di Kedutaan Besar Malaysia, malam tadi.
 
Sebagaimana China, Jepun dan negara-negara lain, Najib berharap agar hubungan baik Malaysia dengan AS juga dapat diperkukuhkan.
 
"Malaysia negara kecil berbanding AS yang  berkeluasan 30 kali lebih besar tetapi kita nenjadi  negara rakan dagang ke-18 AS dari segi eksport selain pelabur yang signifikan di AS," ujar Najib.
 
Najib juga berharap Malaysia dapat meneroka  peluang pelaburan baharu semasa bertemu Presidennya, Donald Trump.
 
Malah kemajuan pesat yang dikecapi Malaysia pada masa kini, seperti pembinaan MRT, kereta api laju Singapura-Kuala Lumpur, lebih raya Pan Borneo dan keretapi laju Kelantan-Kuala Lumpur adalah bukti kejayaan negara, sekaligus menepis tuduhan yang sering dibawa pembangkang.
 
"Kita buat ini untuk generasi muda sekarang. Kita nak tingalkan negara yang berjaya," jelasnya.
 
Hadir sama di majlis makan malam itu adalah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
 
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.
 
-ai-
 


Tags : PM Najib Donald Trump


Ruangan Komen