Array


 Nasional   

PAS masih berminat untuk kerjasama dengan PKR, kata Elizabeth

pada 12-09-2017 11:09 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PKR menyifatkan PAS masih berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengannya dalam mendepani pilihan raya umum tidak lama lagi, demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Elizabeth Wong.
 
Beliau berkata demikian mengulas syarat yang dikenakan PAS, bahawa ia hanya akan membuka pintu rundingan dengan PKR jika parti tersebut meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
 
"Apabila golongan ustaz atau ulama mula cakap begitu, ia (nampak) menarik kerana ia bermaksud mereka juga berfikir ada peluang (kerjasama) tetapi ada syarat.
 
"Ia seperti langkah pertama. Nampaknya ada pihak yang ingin ada kaitan dengan PKR, dan kita sebagai pengantara," kata Elizabeth ketika ditemui pemberita, hari ini.
 
Semalam, Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata partinya terbuka dengan sebarang rundingan atau kerjasama politik dengan PKR sekiranya parti itu meninggalkan PH.
 
Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sering mendakwa PH diketuai oleh DAP, malah kurang senang dengan penglibatan Amanah, iaitu parti serpihan PAS di dalam PH.
 
Ahmad Fadhli berkata syarat berkenaan perlu dipatuhi PKR jika mereka mahu membentuk semula tahaluf siyasi.
 
Malah keputusan kerajaan negeri Kelantan yang mengekalkan kesemua lantikan politik PKR adalah sebagai kesempatan untuk parti itu memikirkan keperluan kerjasama itu.
 
Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan berkata syarat yang dikenakan PAS itu satu perkara biasa dan ia tidak akan menjejaskan PH secara keseluruhannya.
 
"Mana-mana parti politik, NGO atau gabungan sudah tentu mempunyai syarat untuk melindungi kepentingan mereka. Malah mana-mana pihak yang menyertai mana-mana gabungan juga meletakkan syarat. 
 
"Namun ketetapan kita adalah terbuka untuk perbincangan. Jika mereka (PAS) setuju dengan polisi bersama dan inginkan satu gabungan untuk melawan Umno-BN," ujarnya.
 
 
 
-sh-


Tags : PKR Elizabeth


Ruangan Komen